Harimau belang ditemukan berhampiran Plaza Tol Dungun - Utusan Malaysia

Harimau belang ditemukan berhampiran Plaza Tol Dungun

SEEKOR harimau belang ditemukan berkeliaran berhampiran laluan masuk ke Plaza Tol Dungun, Terengganu, semalam. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang pengguna jalan raya tergamam apabila terlihat kelibat seekor harimau belang berhampiran laluan masuk ke Plaza Tol Dungun di sini semalam.

Kelibat harimau belang yang ditemukan berkeliaran di tepi jalan tersebut pada pukul 8.30 malam berjaya dirakam pengguna jalan raya itu yang kemudiannya memuat naik gambar haiwan liar itu di laman sosial Facebook.

Status tersebut mendapat pelbagai reaksi warganet terutamanya penduduk di sekitar Kampung Durian Mentangau di sini yang bimbang dengan dakwaan kemunculan pak belang itu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan kemunculan harimau belang tersebut.

“Setakat ini kita tidak menerima laporan rasmi berhubung kejadian. Bagaimanapun, kakitangan telah dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan. Kita percaya harimau ini adalah harimau yang sama dari Hutan Bukit Bauk kerana lokasinya yang tidak jauh,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Kean Seong menasihatkan orang awam yang terserempak dengan harimau belang supaya terus menghubungi pihaknya bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Sekiranya terserempak dengan haiwan liar ini, jangan sesekali mendekati dan turun dari kenderaan untuk mengambil gambar. Seboleh-bolehnya, beredar secepat mungkin.

“Orang ramai diminta jangan hebohkan di media sosial kerana tindakan itu boleh mendatangkan kecederaan pada haiwan itu yang mungkin diburu pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya