KUALA LUMPUR: Selepas dikecam kerana meletakkan harga tiket penerbangan ‘tidak masuk akal’ ketika Aidilfitri lalu, syarikat penerbangan didakwa sekali lagi menaikkan harga ketika orang ramai merancang perjalanan sempena cuti persekolahan.
Ekoran harga tambang mencecah hampir RM3,000, ada yang terpaksa membatalkan rancangan perjalanan kerana kos tersebut.
Menyedari syarikat penerbangan mengamalkan sistem perdagangan bebas yang membolehkan mereka berurus niaga tanpa campur tangan kerajaan, amalan itu seolah-olah ‘dimanipulasi’ walhal mereka masih boleh menjana keuntungan sekalipun meletakkan harga lebih murah.
Semakan Utusan Malaysia menerusi laman sesawang rasmi dua syarikat penerbangan untuk jadual penerbangan hari ini (semakan semalam), kedua-duanya mengenakan bayaran berbeza mengikut jadual dan kelas penerbangan, namun, secara purata masih mahal.
Contohnya, harga tiket syarikat penerbangan A dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah, sebanyak RM397.84 hingga RM787.89 tambang sehala untuk kelas ekonomi dan RM2,602.64 kelas perniagaan.
Jika kembali ke Kuala Lumpur sebelum tamat cuti sekolah, tambang bermula RM549.45 hingga RM1,416.50 (kelas ekonomi) dan RM900.28 hingga RM1,593.52 (kelas perniagaan).
Syarikat penerbangan B pula meletakkan harga RM1,018 bagi kedua-dua perjalanan dari dan ke destinasi sama.
Harga tambang dari Kuala Lumpur ke Labuan sehala menaiki syarikat penerbangan A pada 2 September lalu bermula RM1,593.52. Bagaimanapun, semakan harga semalam menurun antara RM397.84 sehingga RM791.10 (kelas ekonomi) dan RM900.28 (kelas perniagaan).
Pengguna perlu membelanjakan wang antara RM496.45 sehingga RM1,252.20 jika mahu kembali ke ibu negara, sementara syarikat penerbangan B mengenakan caj ke destinasi sama berharga RM339 sehala.
Situasi sama turut berlaku dari Kuala Lumpur ke Miri, Sarawak menyaksikan syarikat penerbangan A mengenakan tambang bermula RM321.49 hingga RM886.50 (kelas ekonomi) dan RM699.94 hingga RM2438.34 (kelas perniagaan) sehala. Pengguna juga terpaksa membayar antara RM320.49 sehingga RM2,438.34 jika kembali ke ibu negara.
Sementara itu, tambang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bermula RM299.23 sehingga RM497.45 (kelas ekonomi) manakala kelas perniagaan mencecah RM1,034.90 sehingga RM1,982.54.
Untuk kembali ke ibu negara, pengguna perlu membayar antara RM242.02 sehingga RM1,479.04 bagi kedua-dua kelas berkenaan. Syarikat penerbangan B mengenakan harga RM139 hingga RM219 pada tarikh sama.
Utusan Malaysia pada April lalu melaporkan, harga tambang terutama ke Sabah sempena hari raya melonjak 20 kali ganda dari harga asal, menyaksikan harga antara RM1,800 hingga hampir RM4,000 untuk penerbangan sehala. – UTUSAN