Harga sayur di Melaka naik kerana hujan

Harga sayur di Melaka naik kerana hujan

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (dua dari kiri) dan Norena Jaafar (empat dari kiri) melihat sayur-sayuran ketika mengadakan lawatan ke Pasar Besar MBMB di Bachang, Melaka. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengesahkan berlaku kenaikan harga sayur di negeri ini, antaranya sawi yang kini mencecah RM6.50 sekilogram disebabkan musim hujan melanda, minggu lalu. 

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, ia berlaku akibat jumlah bekalan yang tidak mencukupi selepas kebanyakan hasil tanaman rosak akibat hujan.

Katanya, antara sayur yang mengalami kenaikan ketara adalah sawi, brokoli, kangkung dan kacang panjang.

“Cuaca hujan yang melanda negeri ini dan negeri-negeri pengeluar sejak minggu lalu menyebabkan banyak hasil tanaman pengeluar tempatan tidak menjadi dan rosak. 

“Kebanyakan sayur terpaksa didapatkan dari Pasar Borong Selayang, Selangor dan Cameron Highlands, Pahang. Jadi peniaga telah menaikkan harga sekitar 50 sen hingga 80 sen,” katanya ketika ditemui di Ayer Keroh di sini, malam tadi. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan ketara dikesan berlaku di Pasar Awam Jasin apabila harga sawi mencecah RM6.50 sekilogram, manakala brokoli pula RM16 sekilogram. 

“Kita telah membuat perbandingan kenaikan harga di tiga pasar besar utama iaitu di Pasar Awam Bachang di sini, Pasar Besar Jasin dan Pasar Besar Alor Gajah. 

“Terdapat perbezaan harga yang ketara di antara pasar di Jasin apabila sawi dijual pada harga RM6.50 sekilogram dan brokoli RM16 sekilogram, manakala di pasar Bachang masing-masing RM4.50 dan RM12,” katanya. 

“Perbezaan ketara itu dipercayai berlaku apabila peniaga tidak mendapatkan bekalan secara terus daripada pemborong, sebaliknya melalui orang kedua dan ketiga,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya