HULU TERENGGANU: Kejatuhan mendadak harga getah di pasaran menyebabkan kebanyakan penoreh di daerah ini terpaksa mencari pendapatan sampingan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Harga getah yang murah ketika ini bukan sekadar menjejaskan pendapatan, malah mereka berasakan tidak berbaloi sekiranya masih terus menoreh berbanding penat lelah serta kos terpaksa dikeluarkan.
Seorang penoreh getah dari Kampung Basung, Ahmad Kamal, 48, berkata, nasibnya diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana dia juga tidak dapat menoreh seperti biasa ekoran faktor cuaca tidak menentu.
“Keadaan harga barang meningkat kini benar-benar membuatkan saya sukar ‘bernafas’ dengan harga getah hari ini. Mujur duit pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini masih ada untuk tampung belanja saya, isteri dan seorang anak berusia 12 tahun.
“Ada waktunya saya ambil upah menebas di sekitar kampung untuk cari duit belanja. Kebun getah seluas kira-kira 0.4 hektar cuma terletak belakang rumah tetapi cuaca tidak menentu pula membantutkan segala urusan.
“Saya menoreh getah lebih lima tahun lalu, jika sebelum ini getah-getah beku dikumpul terlebih dahulu dalam tong sehingga mencecah empat guni atau sekitar 200 kilogram tetapi kini mana yang ada terus dijual walaupun kuantiti sedikit,” katanya ketika ditemui di sini, semalami.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan, ketidaktentuan harga getah di pasaran yang disifatkan masih di tahap rendah terus menghantui lebih 200,000 pekebun kecil getah seluruh negara.
Sebabnya, harga komoditi itu hampir dua bulan mengalami penurunan mendadak daripada
RM3.20 sekilogram membabitkan getah beku kepada RM2.30 sekilogram ketika ini.
Ahmad Husain, 67, dari Kampung Baharu Gunung pula berkata, pendapatan diperoleh hasil upah menoreh diterimanya kini sekitar RM200 hingga RM300 sahaja sejak awal tahun ini berbanding lebih RM500 sebulan diterima sebelum ini.
“Sudahlah penoreh tidak dapat keluar menoreh kerana hampir setiap hari hujan, harga getah pula semakin murah.
“Hasil upah menoreh getah jadi pendapatan utama saya sejak tahun 1970 lagi, dengan keadaan harga hari ini mujurlah saya ada kemahiran mengurut sekurang-kurangnya dapat membantu tampung belanja saya dan isteri,” ujarnya.
Seorang lagi penoreh, Mahamad Harun, 69, dari Kampung Tapah berkata, harga getah yang murah ketika ini benar-benar meruntun jiwanya yang telah hampir 20 tahun mencari rezeki sebagai penoreh getah sebelum kini berhenti seketika sejak dua tahun lalu.
“Kebun getah seluas kira-kira 0.8 hektar terletak di seberang sungai dan susulan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) serta banjir besar melanda kampung ini Februari lalu, saya tidak lagi menoreh. Keadaan harga getah tidak menentu menyebabkan saya berputus asa.
“Harga yang jatuh mendadak ketika ini menambahkan luka buat orang-orang kampung yang cari rezeki sebagai penoreh getah,” katanya. – UTUSAN