Hannah gesa kerajaan gali sungai berkala

Hannah gesa kerajaan gali sungai berkala

HANNAH Yeoh (kiri) ketika meninjau keadaan sungai dan benteng beg pasir yang sudah tidak sesuai lagi dijadikan sebagai penghalang banjir di Segambut, Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO/ARIF AIMAN ASROL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digesa untuk melakukan operasi mendalamkan tiga sungai di Segambut sebagai langkah mengatasi masalah banjir yang sering menimpa kawasan tersebut.

Operasi tersebut perlu dilakukan sekurang-kurangnya satu kali sebulan di Sungai Keroh, Sungai Batu dan Sungai Toba.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, tindakan PBT membuat benteng daripada beg pasir bagi menghalang air melimpah ke atas tidak lagi sesuai kerana paras air di tiga sungai tersebut meningkat dengan cepat.

Menurut beliau, walaupun ramalan musim banjir pada penghujung November sudah dikeluarkan tetapi masih tiada usaha untuk menaik taraf sungai-sungai yang menjadi punca kepada masalah banjir di Segambut.

“Kita lihat pada Sungai Keroh ni, bila air naik dan dia datang dengan cepat, bag pasir ini tidak akan mampu bertahan. Saya khuatir kerana musim banjir sudah dekat tetapi tiada naik taraf kritikal atau yang jelas untuk mereka menyelesaikan isu banjir.

“Langkah yang dilakukan oleh menteri dengan meletakkan beg pasir dan khemah putih, ini bukan teknologi terbaharu. Beg pasir ini sudah lama orang guna, kalau kita lihat Singapura dan negara lain, mereka sudah ada struktur baru untuk tahan air. Jadi kenapa kita tidak lakukan seperti itu di sini?” katanya semasa sidang media di sini.

Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut hadir bersama wakil-wakil penduduk bagi menggesa kerajaan melakukan operasi menggali sungai dan menaik taraf untuk mengatasi masalah banjir.

Melalui pemerhatian Utusan Malaysia di Sungai Keroh, terdapat sebahagian beg pasir yang sudah pecah menandakan fungsinya untuk menahan air tidak lagi berkesan dan perlunya operasi menaik taraf baharu supaya tragedi banjir kilat bulan Mac lalu tidak berulang.

Sementara itu, Hannah turut membidas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bahawa kerajaan ingin menggunakan kaedah Jepun untuk mengatasi masalah banjir di sini.

Katanya, persiapan perlu dilakukan segera dan tidak menunggu kejadian banjir berlaku baru ingin mengambil alternatif ketika itu tidak lagi berguna kerana penduduk setempat sudah pun mengalami kerugian dan kerosakan harta benda.

“Kenapa kita tidak buat sekarang, naik taraf keadaan sungai kita, korek pasir-pasir ini. Kalau tiada bajet, saya sudah banyak kali buat kenyataan untuk biar pihak luar datang ambil pasir, kerajaan hanya mengawal selia.

“Tidak perlu belanjakan duit. Kalau kita tidak korek sungai-sungai ini atau tidak dinaik taraf, banjir akan berlaku lagi. Jangan tunggu banjir berlaku, baru kita nak pergi bergerak, sekarang saya nak pastikan persiapan ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya