KUALA LUMPUR: Seperti satu deja vu, Datin Seri Rosmah Mansor melalui peguam belanya memohon agar pendengaran keputusannya kes rasuahnya ditangguhkan.
Tindakan yang sama turut dilakukan suaminya, Datuk Seri Najib Razak sewaktu Mahkamah Persekutuan ingin memberikan keputusan rayuan akhirnya.
Peguam bela, Datuk Jagjit Singh memohon penangguhan tersebut bagi membolehkan pembelaan menyediakan afidavit balasan yang difailkan pendakwaan bagi menjawab permohonan mereka agar Hakim Mahkamah Tinggi menarik diri.
Mereka juga memohon agar keputusan yang dijadualkan disampaikan hari ini ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Pada lewat petang 30 Ogos lalu, pasukan pembelaan memfailkan permohonan agar Hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri atas alasan telah berlaku ‘kebocoran’ penghakiman tersebut.
Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini tidak membenarkan agar permohonan itu didengar pada tarikh lain dan mengarahkan agar pembelaan bersedia untuk berhujah. – UTUSAN