GTA bakal guna lambang obor untuk PRU-15

GTA bakal guna lambang obor untuk PRU-15

MARZUKI Yahya (tengah) bersama Mukhriz Mahathir (kanan) menunjukkan memorandum perlembagaan GTA pada sidang akhbar pendaftaran parti itu di pekarangan RoS, Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) memperkenalkan logo obor dengan api menyala sebagai lambang gabungan empat parti itu untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut Ketua Setiausahanya, Datuk Marzuki Yahya, logo berkenaan sudah dipersetujui jawatankuasa penaja GTA bagi digunakan semasa kempen PRU-15 kelak di seluruh negara.

“Ini bukan imej keris tetapi bentuk obor dengan ada api di atasnya menyala marak sebagai simbol GTA membawa cahaya kepada seluruh rakyat,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Terdahulu, beliau bersama-sama jawatankuasa penajanya menyerahkan permohonan GTA yang ditubuhkan 4 Ogos lalu di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di sini.

Antara yang hadir ialah Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali

Turut serta ialah Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Marzuki yang juga Timbalan Presiden Pejuang berkata, logo itu belum pun pernah digunakan mana-mana parti termasuk calon bebas dalam pilihan raya di negara ini.

“Alhamdulillah, respons dalam pertemuan dengan Ketua Pengarah RoS, Mohd. Nawardi Saad juga amat baik dan beri jaminan proses kelulusan dijangka dalam tempoh 30 hari,” katanya.

Beliau turut membaca perutusan khas Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak dapat hadir kerana masih dikuarantin susulan jangkitan Covid-19 pada minggu lalu.

Bekas perdana menteri itu mendakwa bahawa tindakan mereka mendaftarkan GTA sebagai gabungan politik adalah bagi melayakkan blok tersebut dapat bertanding sah pada PRU-15.

Langkah itu perlu dilakukan berdasarkan peruntukan undang-undang meskipun GTA ujarnya, merupakan gerakan rakyat dengan gabungan empat parti siasah berteraskan Melayu Islam.

Justeru, tokoh veteran berusia 97 tahun itu berhasrat untuk memastikan GTA dapat menang pada PRU15 agar dapat membetulkan agenda politik semasa yang didakwa penuh korupsi.

Pada masa sama, GTA akan berusaha sebaik mungkin mengangkat suara orang Melayu dan meletakkan pemimpin terbaik untuk mentadbir negara ini bebas amalan yang tidak berintegriti.

“Bagaimanpun, setakat ini kami belum ada bincang untuk kerjasama dengan mana-mana blok sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) untuk PRU-15,” kata Marzuk.

Ditanya pemberita bagaimanakah pula sekiranya PRU-15 diadakan sebelum sempat GTA diluluskan pendaftaran oleh RoS, Mukhriz berharap perkara buruk tersebut tidak akan berlaku.

Sebaliknya, beliau yang juga antara empat Timbalan Pengerusi Penaja GTA itu amat optimis permohonan blok tersebut sepatutnya tiada pun masalah besar untuk dapat diluluskan segera.

Menyentuh mengenai isu pembahagian kerusi pula, beliau berkata, perkara itu berjalan lancar dan mereka turut mengadakan beberapa kali mesyuarat penyelarasan untuk tujuan tersebut.

Ia ujarnya, sekali gus akan memastikan empat parti komponen GTA tidak bertembung sesama sendiri pada PRU-15 walaupun akan berdepan calon dari PH, PN dan Barisan Nasional (BN).- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN