MELAKA: Walaupun pengguna dibelenggu kenaikan harga barang dan kos sara hidup, seorang peniaga nasi lemak di tepi Jalan Klebang dekat sini tetap mahu menjualnya dengan harga RM1 sebungkus.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Norati Yunus, 42, berkata, dia sangat selesa menjual nasi lemak berlauk sambal ikan bilis, sepotong telur dan timun dengan harga murah kerana seronok melihat orang ramai datang membeli.
Katanya, dia baru sahaja berniaga sejak 16 September lalu, mencuba nasib untuk menambah pendapatan keluarga.
“Sebelum ini saya berniaga menjual nasi bajet dan nasi kukus ayam berempah tetapi terpaksa menutup perniagaan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya baru mula berniaga semula dengan menjual nasi lemak dengan harga RM1 sebungkus. Ramai tanya kenapa jual murah dan bagaimana dapat untung?
“Kalau hendak dikira keuntungan, memanglah tidak sebesar mana kalau dibandingkan kenaikan harga telur, cili dan beras ketika ini. Tetapi saya tetap bersyukur, cukuplah dapat bantu suami,” katanya ketika ditemui.
Ibu kepada tiga anak berusia antara tiga hingga sembilan tahun itu menambah, setakat ini nasi lemaknya mendapat sambutan yang baik kerana dijual murah.
Norati berkata, buat masa ini dia cuma berniaga tiga hari seminggu iaitu dari Jumaat hingga Ahad kerana perlu menguruskan anak yang bersekolah pada hari biasa.
“Apabila cuaca tidak menentu hujan pada sebelah pagi, ia sedikit menjejaskan jualan. Pernah nasi lemak yang dimasak sebanyak enam kilogram (kg) tidak habis dijual.
“Ini asam garam orang berniaga kadang-kadang habis, kadang-kadang tidak. Tetapi saya tetap rasa syukur rezeki yang diberi dan tidak merungut,” katanya. – UTUSAN