[FOKUS] Pelancong ‘serbu’ erlis

Pelancong ‘serbu’ Perlis

perlis
PADANG Besar dibanjiri pelancong dari seluruh negara sempena musim cuti sekolah di Padang Waremart, Perlis. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jika sebelum ini, Perlis hanya dikaitkan sebagai lokasi transit untuk pelancong ke Langkawi, kini stigma tersebut boleh dibuang jauh-jauh memandangkan negeri ini sudah menjadi antara lokasi tumpuan utama pelancong yang datang dari seluruh negara.

Sejak kebelakangan ini khususnya sempena cuti persekolahan ketika ini, Perlis sesak dengan pelancong yang menjadikan negeri ini sebagai tempat bercuti seterusnya menikmati keindahan beberapa lokasi di sini.

Langkah drastik kerajaan negeri termasuk swasta yang melakukan penambahbaikan di lokasi-lokasi pelancongan selain menyediakan tarikan baharu khususnya di Taman Eko-Rimba Bukit Air, Tanah Tinggi Wang Kelian, Tasik Timah Tasoh, Bukit Jernih, Kuala Perlis dan banyak lagi menyebabkan kawasan terbabit berubah wajah.

Malah, lokasi-lokasi berdasarkan keindahan alam semula jadi serta aktiviti-aktiviti menarik seperti kayak di dalam terowong berlatar belakang keindahan bukit dan sawah padi yang menghijau serta pelbagai lagi tarikan baharu yang diketengahkan hasil inisiatif penduduk negeri ini sendiri turut membantu menarik perhatian pengunjung ke Perlis.

Difahamkan sepanjang musim cuti persekolahan ini, tempahan di kebanyakan inap desa di negeri ini penuh.

Tinjauan di beberapa lokasi tumpuan seperti arked niaga Padang Besar, kedai-kedai ikan bakar di Kuala Perlis, View Point, Wang Kelian, Tasik Timah Tasoh sesak dengan pengunjung.

Antara lokasi lain menjadi tumpuan ialah Gua Kelam, Galeri 3D, Taman Eko Rimba Batu Pahat, Taman Eksotik Batu Pahat, Superfruit Valley Chuping selain pelancong luar dilihat mengunjungi kawasan-kawasan kampung bagi menikmati keindahan alam semula jadi.


PENGUNJUNG menikmati keindahan alam yang berlatarbelakangkan bukit dan sawah padi menghijau di Balbuk Haus , Kampung Balik Bukit, Chuping, Padang Besar, Perlis.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatan kuasa Pelancongan negeri, Asmaiza Ahmad berkata, kebelakangan ini, Perlis menjadi pilihan destinasi percutian keluarga bukan sekadar menjadi transit ke Langkawi.

Katanya, kerajaan negeri terus komited dan sentiasa mempromosikan keunikan serta keindahan alam semula jadi yang ada di negeri ini.

“Penglibatan pemain-pemain industri serta seluruh rakyat yang sama-sama memainkan peranan dalam usaha memartabatkan sektor pelancongan ke arah lebih baik telah menjadikan Perlis kini sebagai destinasi pertama untuk dilawati.

“Kemasukan pelancong ini juga secara tidak langsung memberi limpahan ekonomi kepada rakyat khususnya yang berniaga makanan, penginapan, tempat-tempat pelancongan, cenderahati dan sebagainya.

“Kerajaan negeri juga akan berpandukan kepada Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan 2021-2030 dalam merancang serta membangunkan sektor ini. Sasaran kita pelancong menjelang 2030 adalah sebanyak enam juta orang,” katanya.


KETIBAAN orang ramai termasuk pelancong dari luar negara yang tidak melepaskan peluang melancong ke Perlis di KTM Arau, Perlis, semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Sementara itu, seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Hisham Ismail,40, berkata, dia membawa ahli keluarga bercuti di negeri ini selepas melihat pelbagai lokasi menarik dan keindahan alam semula jadi di negeri ini yang sering tular dalam media-media sosial.

“Selain lokasi-lokasi menarik, di sini juga menjadi tumpuan dengan kewujudan kedai-kedai makanan yang unik. Perlis juga boleh diibaratkan seperti ‘syurga makanan’ dan kebanyakan kedai-kedai makan di sini penuh sesak dengan orang ramai.

“Dulu saya hanya ke Perlis apabila ingin menaiki feri ke Langkawi melalui Kuala Perlis. Kini, saya lihat Perlis khususnya dalam sektor pelancongan sudah jauh berubah. Banyak tempat-tempat cantik dan menarik di sini,” katanya yang meluangkan masa tiga hari bercuti di negeri ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya