PETALING JAYA: Polis telah merakam keterangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad hari ini berkaitan laporan polis dibuatnya terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Abdul Latif berkata, beliau didatangi pegawai polis pagi tadi untuk diambil keterangan susulan laporan polis yang dibuat terhadap Rafizi oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas beliau pada 30 Ogos lalu.
“Saya tegaskan bahawa saudara Rafizi adalah seorang pembohong yang memfitnah dan mentohmah saya dan keluarga saya hanya semata-mata untuk kepentingan politik.
“Ini adalah satu perbuatan keji yang dikutuk oleh al-Quran dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 191: Dan fitnah itu lebih kejam daripada pembunuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau sekali lagi ingin menegaskan bahawa sebagai anggota Kabinet, beliau akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Katanya, pihak polis akan mengambil keterangan Rafizi dalam masa terdekat ini bagi membantu siasatan.
Semalam, polis mengesahkan membuka siasatan susulan laporan dibuat terhadap Rafizi berkaitan tohmahannya mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS).
Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik). – UTUSAN