KUALA LUMPUR : Pelakon, Nur Fazura, meluahkan perasaan kesal terhadap sikap individu yang tidak sensitif dan mudah menuding jari pada anak orang lain, terutama ketika berdepan situasi kurang menyenangkan di dalam pesawat.
Menerusi laman sosialnya, Fazura tidak bersetuju jika penumpang kapal terbang bertindak mengherdik ibu bapa yang dianggap tidak mampu mengawal anak kecil.
“Nak tanya ibu bapa seluruh Malaysia, pernah tak anda semua bawa anak-anak kecil naik kapal terbang dan mereka gementar dalam perjalanan di udara?
“Anak-anak kecil, macam Fatima baru nak masuk dua tahun. Sepupu Fatima pula anak syurga, autistik.
“Apa perasaan anda jika ada penumpang wanita lain mengherdik: ‘Kalau anda semua tidak boleh kawal anak-anak, mereka tidak patut terbang!’, sambil menunjuk-nunjuk jari ke arah anak anda?” tulis Fazura.
Rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman berdepan insiden sama, malah pelakon Catriona Ross juga memahami situasi itu memandangkan dia mempunyai anak autistik.
“Sangat biadab! Semua orang harus lebih empati terhadap kanak-kanak, terutama yang istimewa!
“Anak saya juga autistik. Semoga Allah memberi kesabaran dalam diri kita semua. Setinggi-tinggi kasih sayang dari saya kepada keluarga Faz,” komen pelakon itu.
Sementara itu, isteri kepada aktor Fattah Amin ini juga mendoakan agar semua ibu bapa diberikan kesabaran dalam menjaga anak-anak.
“Semoga Allah SWT memberikan kesabaran kepada semua ibu bapa, terutama ibu dalam menjaga amanah-Nya. Amin,”katanya.