Fadzlette diasak Raja Rozela berkaitan kredibiliti Mazlina - Utusan Malaysia

Fadzlette diasak Raja Rozela berkaitan kredibiliti Mazlina

AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai kanan tentera diasak bertubi-tubi oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung keterangannya yang menyentuh kredibiliti bekas Setiausaha Eksekutif Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican, 60, turut ditanya secara bertalu-talu berkaitan bidang tugasnya sebagai Setiausaha Akhbar Ahmad Zahid ketika berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Fadzlette mendakwa, Mazlina melakukan kesalahan engkar perintah (insurbodination) melebihi 10 kali namun tiada aduan dibuat terhadapnya dan hanya dimaklumkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri.

Saksi pembelaan kedua itu kemudian bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran bahawa tiada tindakan dikenakan terhadap Mazlina di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.

Raja Rozela: Jika tiada tindakan dan memandangkan Datuk dan Mazlina tertakluk di bawah akta, kesalahan engkar perintah sebenarnya tidak pernah dilakukan?
Fadzlette: Tak setuju.

Raja Rozela: Tugas hakiki Datuk di KDN sebagai Setiausaha Akhbar sahaja?
Fadzlette: Betul.

Raja Rozela: Setiausaha Akhbar buat apa?
Fadzlette: Sediakan teks ucapan, buat jemputan rasmi, pantau media dan lengkapkan kenyataan Datuk Seri kepada media.

Raja Rozela: Di KDN, Mazlina Setiausaha Eksekutif menteri dan TPM, jadi tugasnya tiada kaitan langsung dengan ketenteraan. Datuk setuju?
Fadzlette: Tak setuju.

Pada sesi pemeriksaan utama sebelum itu, Fadzlette yang kini Pengarah Media Presiden UMNO menggambarkan Mazlina sebagai seorang individu yang tidak memperdulikan arahan pegawai atasan meskipun perkara itu berkaitan tugas rasmi.

Ujarnya, Mazlina juga tidak menghormati beliau sewaktu bertugas di KDN kerana beranggapan hanya Ahmad Zahid berhak mengeluarkan arahan kepadanya.

Menjawab soalan Raja Rozela, Fadzlette berkata, di antara tahun 2011 dan 2018, beliau tidak mengenali Mazlina secara peribadi dan tidak mengambil tahu tugas-tugas hakiki pegawai tersebut di KDN ketika itu.

Saksi pembelaan kedua itu turut menyatakan beliau tidak pasti sama ada Ahmad Zahid sendiri mengarahkan Mazlina menguruskan kewangan peribadi beliau termasuk urusan pembayaran bil kad kredit dan insurans kereta.

Raja Rozela: Sebagai Setiausaha Akhbar, Datuk tiada bidang kuasa meminta penyata kad kredit dan cek daripada Mazlina?
Fadzlette: Tidak setuju.

Raja Rozela: Datuk tahu atau tidak, Datuk Seri Zahid sendiri memberi kebenaran kepada Mazlina untuk menggunakan cop tanda tangan?
Fadzlette: Tidak tahu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Fadzlette memberi keterangan pada perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya