KUALA KRAI: Seorang ibu tunggal bersama lima anak di Kampung Dusun Durian, Dabong, di sini, terpaksa berteduh di sebuah rumah pusaka usang yang hanya menunggu masa untuk roboh.
Lebih menyedihkan rumah berusia 33 tahun yang menjadi ‘syurga’ kepada Che Esah Yusoff, 49, dan anak-anak itu tiada tandas dan dapur selain lantai serta bumbung berlubang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Che Esah berkata, kesempitan hidup membuatkan dia dan arwah suami Zainudin Seman tidak dapat menyediakan rumah yang selesa untuk mereka sekeluarga berteduh.
Menurutnya, disebabkan situasi itu mereka sekeluarga terpaksa mandi dan membasuh pakaian di ruang terbuka yang berlantaikan tanah.
“Memandangkan keadaan rumah yang tidak sempurna ini, kami terpaksa berjaga-jaga pada waktu malam terutamanya ketika hujan kerana atap rumah sudah bocor.
“Selepas kehilangan suami akibat Covid-19 tahun lalu, tugas selaku ketua keluarga kini terpaksa digalas seorang diri bagi membesarkan anak-anak yang berusia 10 hingga 23 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan Cempaka Merah Asnaf Society, diwakili Nor Liyana Stofar yang turut menyampaikan sumbangan zakat dan barangan dapur di sini semalam.
Che Esah memberitahu, tugas mencari rezeki menjadi sedikit ringan apabila dibantu oleh anak sulung, Che Mohamad Saiamirullah yang mengambil upah menoreh getah dengan bayaran sekitar RM350 mengikut bilangan hari.
Katanya, selain itu dia turut diuji apabila terpaksa menjaga anak ketiganya, Che Mohamad Saiamrie, 20, yang rabun serta lembam sejak lahir.
“Saya tidak mampu untuk bawa anak saya dapatkan rawatan masalah rabunnya kerana masalah kewangan.
“Disebabkan kesempitan hidup, kami pernah mengalas perut dengan makan nasi dan budu atau kicap sahaja. Saya pernah menitiskan air mata mengenangkan kesempitan hidup,” ujarnya.
Mereka yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Che Esah (0350141700078805) atau menghubungi talian 017-9695148. – UTUSAN