Empat jawatankuasa baharu bawah MKI ditubuh

Empat jawatankuasa baharu bawah MKI ditubuh

SULTAN Sharafuddin Idris Shah menyampaikan watikah pelantikan kepada Othman Mustafa dalam Majlis Pengurniaan Watikah dan Penghargaan Ahli Dilantik Di Bawah MKI dekat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli jawatankuasa di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan baginda.

Seramai 26 orang penerima watikah antaranya adalah bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustafa dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Farid Alias.

Kesemua yang dilantik tersebut menganggotai empat jawatankuasa yang distruktur semula di bawah MKI iaitu Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan, Muzakarah, Perundangan Islam dan Penyelaras Pendidikan Islam.

Menurut Setiausaha MKI, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff, keanggotaan jawatankuasa itu terdiri daripada wakil majlis agama Islam negeri-negeri yang dilantik oleh MKI selepas mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja.

“Selepas 50 tahun penubuhannya, MKI distrukturkan semula dengan perkenan Majlis Raja-Raja untuk memperkukuhkan fungsinya selaras dengan cabaran zaman dan keperluan tadbir urus semasa.

“Melalui usaha penstrukturan tersebut, Majlis Raja-Raja memberi perkenan Peraturan-Peraturan Baharu MKI bagi menggantikan peraturan tahun 1968 untuk memperkukuhkan MKI dengan penubuhan empat jawatankuasa tersebut,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengurniaan Watikah dan Penghargaan Ahli Dilantik Di Bawah MKI di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Ketua Pengarah Jakim itu menambah, fungsi jawatankuasa yang ditubuhkan itu akan diurusetiakan oleh Jakim dan berperanan untuk menguruskan perkara-perkara yang berhubungan dengan fungsi MKI.

MKI ditubuhkan pada 17 Oktober 1968 melakarkan banyak kejayaan seperti menyelesaikan isu pengesahan halal untuk barangan yang dijual kepada orang Islam sehingga mewujudkan sistem pensijilan seragam antara negeri-negeri menerusi mesyuarat pertama pada 1970.

Jelas Hakimah lagi, pelbagai kejayaan lain turut dicapai MKI seperti persetujuan penubuhan Bank Islam pada 1972 diikuti penubuhan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) pada 1976.

“Dalam pendidikan Islam (seperti) penubuhan Maktab Perguruan Islam pada 1977, pelaksanaan kelas takmir di masjid dan surau pada 1989 dan diikuti dengan pelaksanaan Kelas Pendidikan Al-Quran dan Fardhu Ain yang bermula sejak 1991.

“(Selain itu), banyak dasar utama diberi perhatian (seperti) pengasingan Bahagian Pendakwaan daripada Jabatan Agama Islam Negeri untuk dinaik taraf kepada Jabatan Pendakwaan Syariah menjadikannya rasmi sebagai sebuah jabatan berasingan daripada jabatan agama Islam negeri,” jelasnya.

Katanya lagi, MKI turut berperanan memperkasa undang-undang syariah bermula dengan inisiatif penubuhan Jawatankuasa Mengkaji Undang-Undang Syarak pada 1998 yang bertanggungjawab mengkaji, menyemak dan menggubalnya untuk diselaraskan di setiap negeri.

“Usaha penyeragaman dan penyelarasan undang-undang syariah direalisasi melibatkan enam rang  undang-undang syariah yang digunakan di Wilayah Persekutuan dan menjadi model di negeri-negeri seperti pentadbiran agama Islam, keluarga, keterangan mahkamah syariah, tatacara mal mahkamah syariah, jenayah syariah dan kesalahan jenayah syariah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya