Elaun pelajar tajaan Petronas dinaikkan - PM

Elaun pelajar tajaan Petronas dinaikkan – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 2,267  pelajar tajaan Petronas menerima kenaikan elaun berkuat kuasa serta merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan itu meliputi elaun buku dan peralatan belajar daripada RM1,000 kepada RM1,500 untuk pelajar di Malaysia dan tambahan RM500 untuk pelajar di luar negara.

Katanya, bagi pelajar yang baru menerima penajaan Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) pula, elaun induksi atau onboarding allowance dinaikkan daripada RM4,500 kepada RM5,000.

“Kenaikan kedua-dua elaun ini mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi dan bantuan ini diharap dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa seterusnya memudahkan proses pembelajaran pelajar.

“Tajaan ini diharap dapat mendorong anda semua mengorak melangkah lebih jauh untuk menggapai cita-cita dan pulang dengan kejayaan serta seterusnya menabur bakti kepada industri dan negara yang tercinta,” katanya ketika merasmikan majlis penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2022 di ibu negara, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 600  pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 mendapat tajaan di bawah PESP untuk melanjutkan pengajian ke peringkat  lebih tinggi.

Ini adalah jumlah tajaan tahunan tertinggi oleh Petronas dengan nilai pelaburan melebihi RM340 juta.

Penerima tajaan bakal melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, geosains, ekonomi, undang-undang serta kursus lain berkaitan industri di Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Australia, China, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Petronas juga memperluas penajaan pendidikan yang merangkumi disiplin seperti sains komputer, kejuruteraan perisian dan teknologi maklumat dalam menyediakan bakat serta tenaga kerja bagi landskap Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Sejak 1975, lebih 37,000 pelajar cemerlang Malaysia termasuk 1,720 yang sedang mengikuti program itu telah mendapat manfaat daripada tajaan bernilai lebih RM3.5 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya