PUTRAJAYA: Kerajaan bakal meningkatkan kadar elaun bahasa asing kepada pegawai awam Kementerian Luar yang dihantar bertugas di luar negara mulai awal tahun depan.
Berita gembira tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Persidangan Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia di sini hari ini.
“Kerajaan bersetuju menaikkan elaun bulanan bagi penjawat awam yang berkhidmat di luar negara yang menguasai dan menggunakan bahasa asing dalam tugas rasmi mereka. Langkah ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023,” jelasnya sambil menambah, kerajaan turut menggalakkan diplomat Malaysia fasih bahasa asing selaras keperluan tugas.
Seramai 106 ketua perwakilan negara daripada sejumlah 85 buah negara terlibat dalam persidangan dua hari kali kesembilan itu yang berakhir esok dan diadakan secara hibrid.
Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22 Tahun 2009, elaun itu mula diperkenalkan pada 1991 bermula dengan bahasa Jepun sebelum diperluaskan kepada bahasa yang lain. Ia meliputi kesemua lima bahasa antarabangsa yang ditetapkan sebagai bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Arab, Perancis, Cina, Russia dan Sepanyol.
Ismail Sabri bagaimanapun menegaskan kerajaan masih mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan termasuk dalam urusan di luar negara.
“Saya sendiri sejak tahun lalu telah mengarahkan supaya semua surat-menyurat rasmi menggunakan bahasa Melayu termasuk yang melibatkan urusan di luar negara,” jelas beliau. – UTUSAN