PUTRAJAYA: Penduduk di negara ini dinasihatkan tidak perlu gusar dengan hantaran ‘nakal’ warganet tertentu konon ekuinoks pada 23 September depan sebagai petanda hampir kiamat.
Ia susulan peristiwa tahunan bersempena peralihan musim iklim tersebut dijangka berlaku pada pukul 9.03 pagi dan bukannya ketika waktu tengah hari sebagaimana tanggapan kelaziman.
Malah menurut seorang pakar falak tanah air, Datuk Dr. Azahari Mohamed ketika ditanya mengenai situasi pelik hari tanpa bayang itu berkata, waktu berkenaan bukanlah luar biasa pun.
“Sebenarnya ini bukan kali pertama ekuinoks di Malaysia tidak berlaku pada waktu tengah hari, bahkan ada juga terjadi pada sebelah lewat malam atau awal pagi sebelum subuh,” katanya yang menambah fenomena dikenali sebagai tengah hari tanpa bayang apabila matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa.
Keadaan alamiah itu berlaku dua kali setahun yang menyaksikan dunia mengalami tempoh siang dan malam sama panjang iaitu masing-masing 12 jam dengan kali pertama pada 21 Mac. Bagaimanapun, tidak ramai penduduk negara ini yang sedar bahawa pada tarikh berkenaan kejadian itu terjadi pukul 11.33 malam waktu Malaysia dan bukannya ketika tengah hari.
Azahari yang juga bekas Timbalan Presiden Persatuan Falak Syari Malaysia berkata, perbezaan waktu itu pula disebabkan Malaysia berada di barat titik ekuinoks sebenar.
Pada 23 September ini jelasnya, matahari akan berada di Lautan Pasifik tepat atas garisan Khatulistiwa iaitu 0 darjah dan 150 darjah Timur di sebelah arah timur laut Papua New Guinea.
“Matahari sebelum itu akan bergerak mengikut jalur orbit laluannya dari arah tenggara garisan Sartan di Bangladesh menuju ke arah barat laut garisan Jadi di Chile. Justeru secara kebetulan Malaysia akan merasainya pukul 9.03 pagi ketika fenomena ekuinoks pada tarikh berkenaan kerana kedudukan geografi dan ia bukan perkara janggal,” katanya. – UTUSAN