Dua pemuda 'rebut' kerusi Parlimen Pasir Mas - Utusan Malaysia

Dua pemuda ‘rebut’ kerusi Parlimen Pasir Mas

AHMAD Fadhli Shaari dijangka mendapat tentangan hebat daripada Noor Hariri Mohamed Nor yang mungkin diketengahkan Barisan Nasional pada PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA pemuda yang mempunyai jawatan tertinggi di dalam parti dijangka bakal merebut kerusi Parlimen Pasir Mas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Tokoh muda dimaksudkan itu ialah Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Nor yang bakal berdepan penyandang kerusi berkenaan, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas.

Kehadiran dua tokoh muda itu dilihat memberi nafas baharu dalam arena politik negara selari dengan keputusan membenarkan remaja berusia 18 tahun ke atas untuk menjadi pemilih pada PRU15.

Situasi itu pastinya memberikan peluang seimbang kepada UMNO dan Pas untuk ‘mencuri’ hati pengundi muda walaupun terpaksa berdepan dengan saingan daripada Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Tanah Air (GTA).

Bagaimanapun, politik di negeri ini lebih tertumpu kepada perseteruan antara UMNO dan Pas yang sudah sinonim sejak dahulu lagi.

Menariknya, kedua-dua tokoh pemuda itu dilihat sudah rancak bergerak dan menjelajah seluruh kawasan di Parlimen Pasir Mas untuk mencari sokongan diperingkat akar umbi terutama Noor Hariri.

Ahmad Fadhli pula dilihat semakin selesa menggalas tugas sebagai Ahli Parlimen dengan sedaya upaya menyelesaikan setiap keluh-kesah penduduk dalam usaha menambat hati pengundi menjelang PRU15.

Sungguhpun begitu, sejarah telah membuktikan pada PRU14, Ahmad Fadhli menang dengan majoriti 13,075 undi dengan menewaskan Nor Azmawi Ab. Rahman (Barisan Nasional), Che Ujang Che Daud (Parti Keadilan Rakyat) dan Datuk Ibrahim Ali (Bebas).

Melihat kepada majoriti tersebut, Ahmad Fadhli dilihat mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kerusi pada PRU15 nanti. Ditambah pula dengan kerja keras yang dilakukan oleh sebaik sahaja memenangi kerusi Pasir Mas pada PRU lalu.

Mengukuhkan lagi kedudukan Ahmad Fadhli, pada PRU13, Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz yang dilabel sebagai ‘calon import’ menang sekali gus menyaksikan Pasir Mas terkenal sebagai salah satu kerusi ‘deposit’ Pas di Dewan Rakyat.

Di sebalik itu, Ahmad Fadhli tidak boleh leka dengan keputusan PRU14 kerana faktor penolakan terhadap Pas sudah mula kelihatan di negeri ini.

Situasi itu akan menjadi menarik sekiranya Ibrahim Ali membuat keputusan untuk bertanding di Pasir Mas. Kehadiran tokoh itu tidak boleh diambil mudah oleh Ahmad Fadhli mahupun Noor Hariri kerana Ibarhim mempunyai ‘aura’ yang mampu menarik sokongan pengundi di Pasir Mas.

Walaupun masih belum membuat keputusan untuk bertanding, Ibrahim dilihat mampu ‘memecah’ undi Pas dan UMNO pada PRU15 nanti.

Oleh itu, Noor Hariri sudah boleh mencongak strategi sekiranya mahu bertanding di Parlimen Pasir Mas.

Bagaimanapun Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu perlu mendapat mandat daripada pucuk pimpinan negeri jika tidak mahu berdepan dengan ‘cah keting’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya