HULU TERENGGANU: Dua beranak terselamat setelah rumah didiami mereka terbakar dipercayai akibat disambar petir dalam kejadian di Kampung Bukit Diman, Ajil di sini, hari ini.
Kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ketika warga emas, Timah Muda, 69, sedang menziarahi kematian seorang saudaranya di Kampung Menerong, Ajil manakala anaknya, Zahirah Mat Tazan,27, bekerja di Kuala Berang di sini.
Menurut Timah, dia bergegas pulang selepas mendapat panggilan telefon daripada jiran yang dimaklumkan rumahnya terbakar dipercayai disambar petir.
“Sekitar pukul 2 petang saya diambil oleh salah seorang anak keluar rumah untuk ziarah kematian, tidak sampai setengah jam berada di sana dikejutkan dengan berita rumah terbakar.
“Saya terus bergegas pulang dan dapati api begitu marak walaupun ketika itu hujan. Saya tidak dapat berbuat apa-apa selain melihat rumah didiami sejak 25 tahun lalu musnah.
“Tujuh ekor kucing termasuk empat anak yang menjadi kesayangan kami dua beranak juga mati dalam kebakaran. Walaupun sedih dengan kejadian ini namun saya tetap bersyukur kerana tiada di rumah ketika itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, dia tidak dapat bayangkan nasibnya jika berada di rumah ketika kejadian kerana pergerakannya terbatas kerana sakit paha dan faktor usia menyukarkan bergerak.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Kuala Berang, Hanafi Mohd. berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.44 petang dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan seramai 12 anggota.
Katanya lagi, pihaknya juga dibantu tujuh anggota dari BBP Wakaf Tapai dan punca serta jumlah kerugian melibatkan 80 peratus kebakaran rumah separuh kekal itu masih dalam siasatan. – UTUSAN