JOHOR BAHRU: Dua adik beradik rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini hari ini.
Kejadian pukul 1.41 petang itu mengorbankan Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan adik perempuannya, Nurul Hawa Zafira, 2.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Ridzuan Malek Rivan berkata, seramai 14 anggota ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal dan mengakibatkan kemusnahan 60 peratus daripada keseluruhan rumah. Terdapat dua mangsa ditemukan rentung di ruangan bilik tidur.
“Pemadaman awal dilakukan oleh orang awam menggunakan jirusan air paip. Tindakan operasi pemadaman susulan dilakukan pihak bomba sehingga pukul 2.20 petang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. – UTUSAN