JOHOR BAHRU: Kejadian kebakaran yang meragut nyawa dua beradik di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini, kelmarin tiada unsur permusuhan atau elemen negatif.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat sebaliknya meminta masyarakat, khususnya golongan ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk menitikberatkan aspek keselamatan di rumah masing-masing.
Pihaknya juga akan membantu keluarga mangsa untuk mempercepat siasatan tentang kejadian berkenaan.
“Berita ini memang menyedihkan, apa yang boleh kita buat adalah beri nasihat kepada keluarga yang mempunyai anak-anak kecil di rumah apabila ibu bapa mungkin perlu keluar bekerja.
“Pastikan daripada segi keselamatan barang-barang elektrik atau apa-apa perkara yang boleh menyebabkan kebakaran sama ada memasang ubat nyamuk atau perkara-perkara lain, kerana macam-macam boleh berlaku.
“Jadi, marilah kita ambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Polis buat siasatan juga takut ada elemen permusuhan yg boleh disiasat, tetapi kami percaya elemen itu tiada,” katanya selepas melawat keluarga mangsa di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini, semalam yang turut disertai Timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin.
Kamarul Zaman berkata, sebarang kejadian yang berlaku disiasat dari pelbagai aspek bagi melihat sama ada wujud elemen kecuaian.
“Jadi ibu bapa, tolong ambil langkah keselamatan yang sewajarnya, kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang. Kerana mungkin ada elemen kecuaian, jika ada kecuaian boleh menyebabkan tindakan diambil,” katanya memberi peringatan kepada semua pihak.
Semalam, Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan adik perempuannya, Nurul Hawa Zafira, 2, ditemukan rentung dalam kebakaran di kediaman yang dksewa keluarga berkenaan pukul 1.41 petang. – UTUSAN