PETALING JAYA: Produksi Tilit-Tilit Cinta atau Spying Your Love melakar sejarah tersendiri apabila menjadi drama dialek Sarawak pertama ditayangkan di Netflix, bermula semalam.
Diedarkan oleh MyContent Distribution, drama bersiri 13 episod terbitan Vian Media itu merupakan adaptasi teater berjudul Latiff vs Maryam, karya asal Arshad Adam.
Pengarah Urusan MyContent Distribution, Lyn Nasihin berkata, pemilihan drama itu bertepatan dengan matlamat mereka untuk mengembangkan industri kandungan kreatif di Malaysia dengan mengedarkan karya tempatan ke platform penstriman global.
“Secara tidak langsung, ia menggalakkan syarikat produksi tempatan menghasilkan lebih banyak karya yang boleh dipasarkan untuk tontonan antarabangsa,” katanya.
Pembikinan drama bersiri tersebut dibiayai oleh FINAS melalui Dana Kandungan Digital (DKD).
Tilit-Tilit Cinta merupakan antara sembilan penerima DKD melalui program TVS Pitch It Siri 1/2020. Drama itu telah ditayangkan di TVS, saluran 122 Astro dan MYTV tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi FINAS, Profesor Dr. Md Nasir Ibrahim berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan terbitan yang boleh dibawa ke peringkat global.
“Usaha MyContent Distribution untuk memasarkan Tilit-Tilit Cinta ke Netflix adalah inisiatif terpuji dan harus dicontohi oleh syarikat produksi tempatan lain.
“Ini bukti karya penggiat kandungan kreatif Malaysia mempunyai keunikan tersendiri dan versatil, sesuai untuk tontonan masyarakat di seluruh pelosok dunia.
“Menggunakan dialek Sarawak sepenuhnya dan memaparkan kepelbagaian sosiobudaya di negara ini, kami yakin Tilit-Tilit Cinta akan berjaya menambat hati penonton,” ujarnya.
Memberi galakan kepada pemain industri untuk terus berkarya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Rizal Zulkapli pula memberitahu, permohonan TVS Pitch-It Siri 2/2022 telah dibuka bermula 1 September sehingga 20 Oktober 2022 dan menyeru penggiat industri kandungan kreatif tempatan untuk menghantar idea mereka.
Tilit-Tilit Cinta berkisar mengenai percintaan penuh romantik dan jenaka antara Ujang dan Merry yang dilakonkan oleh Haziq Fadhullah dan Dee Dee A’iene.
Drama arahan Josh Nawan itu turut dibintangi Kahar Jini, Yana Melanos dan Javenson Serit. Kesemua bakat tersebut adalah anak jati Sarawak.