MELAKA: Gara-gara memiliki dan menyimpan sebanyak 4,277 pasang kasut tiruan berjenama terkenal, seorang lelaki didenda RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh Loke Yee Fei, 36, mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pembantu jualan itu didapati memiliki dan menyimpan untuk tujuan jualan sebanyak 4,277 pasang kasut tiruan berjenama di sebuah premis bernombor 14, Jalan Nangka 3, Taman Rumpun Bahagia di sini pada pukul 4.30 petang, 31 Mac 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Mohamad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazari manakala tertuduh diwakili Peguam Kent Tan Chow Teng.
Mahkamah kemudian turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda. – UTUSAN