TELUK INTAN: Penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau dimasukkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) di sini malam tadi selepas mengadu sesak nafas.
Penyanyi berusia 84 tahun itu mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu selepas disahkan menghidap kencing manis selain sakit pinggang dan jantung tidak stabil.
Menurut isteri penyanyi itu, Datin Rohani Awang Ngah, 62, suaminya mengadu sesak nafas sejak malam tadi, lalu ahli keluarganya hubungi klinik berhampiran dan membawa penyanyi itu ke HTI menaiki ambulans.
“Doktor mengesahkan Datuk mengalami masalah paru-paru berair.
“Keadaannya agak lemah, tidak begitu stabil dan belum boleh bercakap,” katanya di sini hari ini.
Daud Kilau menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil menyebabkannya mengambil keputusan tidak lagi membuat persembahan pentas dan beliau lebih banyak berbaring di rumah.
Ahad lalu, walaupun keadaan kesihatannya kurang baik, Daud Kilau tetap hadir menyaksi dan memeriahkan pertandingan akhir Pencarian Bintang M. Daud Kilau yang di Dataran Menara Condong di sini. – UTUSAN