Dasar Bioteknologi Negara 2.0 digubal - PM

Dasar Bioteknologi Negara 2.0 digubal – PM

Ismail Sabri Yaakob diiringi oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (tengah) melawat ke gerai-gerai pameran industri dan beramah mesra bersama peserta pameran pada Majlis Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di ibu negra hari ini -UTUSAN/AMIR KHALID.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan dalam melonjakkan ekonomi negara diteruskan melalui pemerkasaan sektor bioteknologi dengan penggubalan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemerkasaan itu memberi tumpuan kepada tiga tunjang utama iaitu bioteknologi pertanian dan jaminan makanan; penjagaan kesihatan dan kesejahteraan serta bioteknologi perindustrian dan ekonomi kitaran.

Katanya, dasar ini akan memperkukuhkan ekosistem bioteknologi sedia ada bagi menyelesaikan cabaran negara seperti sekuriti makanan, pengurusan pandemik dan krisis perubahan iklim menerusi kaedah penyelesaian bioteknologi tempatan.

“Dasar ini bakal memacu momentum yang telah digariskan di bawah Dasar Sains,Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara pengguna teknologi kepada negara pembangun teknologi.

“Kerajaan akan terus menjalin kerjasama erat semua pihak berkepentingan yang terdiri daripada kementerian dan agensi kerajaan serta pihak industri berasaskan bio dan masyarakat bagi menjayakan sasaran-sasaran utama dasar,” katanya ketika melancarkan Dasar Bioteknologi Negara 2.0.

Tambahnya, selaras dengan bidang tumpuan bioteknologi pertanian dan jaminan makanan, usaha akan dipertingkatkan dalam menggunakan sumber asli tempatan secara mampan untuk input pertanian, ternakan dan hasil marin, serta akuakultur bernilai tinggi.

“Ekosistem makanan masa depan dan produk bernilai tinggi dengan menggunakan teknologi baharu dan terkini akan dibangunkan, seperti superfood dan penghasilan makanan baharu yang lebih lestari,” katanya.

Beliau turut menggariskan lima sasaran utama bagi dasar itu antaranya tiga syarikat bio-inovasi berstatus unicorn menjelang 2030; pemerkasaan institut dan institusi serta tokoh penyelidik bioteknologi tempatan bertaraf dunia.

“Kita juga menyasarkan lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh syarikat-syarikat bioteknologi dan 80 peratus graduan bioteknologi yang diiktiraf melalui program pentauliahan mikro dan 20 peratus graduan bioteknologi dalam program pasca siswazah,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri menggesa semua pihak termasuk syarikat modal teroka (VC) tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melabur dalam syarikat bioteknologi tempatan bagi memastikan pertumbuhan dan pembangunan bioteknologi negara dapat menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia yang melibatkan semua institusi dan institut penyelidikan berasaskan bioteknologi yang mengendalikan dan mengemudi penyelidikan, berdasarkan permintaan industri dan kepentingan strategik negara.

“Justeru, satu badan penasihat pakar bioteknologi akan diwujudkan bagi menggerakkan agenda negara dengan lebih berfokus dan berasaskan kekuatan negara seperti mendalami kekayaan biodiversiti negara yang boleh memperkasakan tiga sektor bioteknologi seperti yang termaktub dalam dasar ini,” katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi program Bio-based Accelerator (BBA) dan peruntukan RM2 juta bagi penganjuran BioMalaysia 2023.

“Saya berharap BioMalaysia akan dapat dianjurkan pada tahun 2023 dengan jayanya dan menarik lebih ramai pemain industri serta pelabur asing dan tempatan.

“Sekali lagi saya memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa menyokong penuh Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan yakin ia akan memberi impak positif dalam memacu sosioekonomi negara ke arah kualiti hidup yang lebih baik berasaskan kepakaran dan inovasi tempatan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya