DAP pinda perlembagaan parti, kekang lompat parti - Utusan Malaysia

DAP pinda perlembagaan parti, kekang lompat parti

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kongres Khas DAP 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC hari ini dijangka meminda Perlembagaan parti bagi mengekang wakil rakyat bertukar atau lompat parti.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, pindaan itu bagi memperkukuh dan memperkasa peruntukan untuk mengharamkan sama sekali sebarang usaha daripada wakil rakyat yang dipilih di bawah panji DAP bertukar ke parti lain.

“Hari ini kita nak luluskan satu pindaan Perlembagaan parti. Ada katakan bahawa DAP tidak perlu pindaan sedemikian sebab rekod cemerlang parti yang tidak lompat langsung kerana semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu ada 42 Ahli Parlimen dan hari ini menjelang PRU15 pun kita tetap ada 42 wakil rakyat.

“Tetapi kita mahu pastikan bahawa mereka yang berhasrat mahu melompat parti tidak mempunyai harapan langsung. Kepada mereka yang nak berbuat demikian, nak boikot parti, tiada esok lagi, tiada maaf bagimu,” katanya ketika berucap di sini.

Jelas Guan Eng, pindaan itu tidak bertujuan untuk mengurangkan ruang bersuara terutamanya dalam parti.

Katanya, sebarang pandangan berlainan boleh disuarakan, tetapi semua ahli tetap perlu bergerak sebagai satu pasukan selepas keputusan dibuat secara kolektif kerana parti ini di bawah kepimpinan bersama. 

“Oleh itu, kepada mereka yang cuba melanggar keputusan parti, kena ingat kalau dipilih sebagai wakil rakyat jangan cuba ingkar kerana akibatnya satu pilihan raya kecil akan dibuat (dan di situ kita boleh lihat) sama ada keputusan mereka itu betul atau parti yang betul.

“Jadi pindaan ini juga supaya rakyat lebih yakin dan memberi sokong yang lebih kepada PRU15 akan datang dan supaya peratusan keluar mengundi tinggi kerana tiada lagi istilah lompat parti dalam negara.

”Selamat bersiap sedia untuk berjuang dan lawan dalam pilihan raya umum akan datang supaya Malaysia terus bersih, selamat dan maju untuk anak-anak kita. Kita akan ajar Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, kita akan pastikan Pakatan Harapan menang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN