Dakwaan SPR paksa guru hadir taklimat petugas PRU-15 disiasat

Dakwaan SPR paksa guru hadir taklimat petugas PRU-15 disiasat

RADZI Jidin melihat pelajar bermain sepak takraw semasa Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di SK Presint 5 (1) Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyiasat dakwaan guru-guru di sebuah sekolah menengah di Kajang, Selangor ‘dipaksa’ menghadiri taklimat petugas pilihan raya umum (PRU) ketika sesi persekolahan, baru-baru ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau baru dimaklumkan perkara itu dan akan mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

Beliau berkata, pihaknya sedar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cukup faham dengan tugas dan tanggungjawab guru di sekolah.

“Jika dibuat taklimat dan panggil semua guru, siapa nak jaga anak-anak kita di sekolah. Secara umumnya, SPR faham bahawa kalau guru bertugas pada waktu berkenaan, maka keutamaan harus diberikan kepada guru untuk bertugas dan mengajar,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di sini, hari ini.

Katanya, KPM sentiasa bekerjasama dengan SPR dan jika perlu, waktu taklimat diperincikan bagi memastikan tugas hakiki guru tidak terganggu.

Radzi berkata, jika taklimat itu diadakan pada hari sesi persekolahan, ia mestilah dilakukan selepas waktu persekolahan atau melibatkan guru yang tidak bertugas dan pentadbir sekolah sahaja.

Sebelum ini, media melaporkan keluhan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Jalan Reko, Muhamad Nasron Muhamad Nasir yang mendakwa guru dipaksa menghadiri taklimat petugas PRU ketika waktu persekolahan.

Muhamad Nasron mendakwa, taklimat itu diadakan pada Isnin lalu dan majoriti guru tidak dapat mengajar pada hari berkenaan.

Katanya, beliau sudah melaporkan perkara itu kepada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata, KPM sudah mengemukakan kesemua hasrat, peruntukan dan perkara yang diperlukan kepada Kementerian Kewangan untuk Bajet 2023 yang bakal dibentangkan awal bulan depan.

Menurutnya, senarai itu termasuk peruntukan bagi memperluas program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan beberapa program dan inisiatif lain. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya