PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan, Che Ta Pot Pet tidak mahu melibatkan diri dengan kontroversi melampau selepas mengalami kemurungan dek insiden tular baru-baru ini.
Jelasnya, walaupun kontroversi mampu melonjakkan namanya dalam arena hiburan tetapi dia telah hilang kepercayaan terutama daripada peminat serta pengikutnya di media sosial.
“Isu itu sudah lama tetapi sehingga sekarang masih memberi kesan. Murung juga saya bila ramai mengecam. Cukuplah sekali saya berdepan kontroversi seperti itu.
“Apa yang saya paling takutkan adalah hilang kepercayaan daripada peminat dan pengikut di media sosial. Alhamdulillah, mereka masih menyokong,” katanya.
Pengasas produk kecantikan itu baru-baru ini menerima kecaman warganet selepas mempamerkan aksi kurang sesuai bersama rakan usahawan lain di sebuah program keusahawanan tular di media sosial.
Dalam pada itu, bercakap soal kerjaya, Che Ta Pot Pet berkata, dia sedang dalam perancangan mengeluarkan single kedua selepas lagu pertamanya kurang mendapat sambutan.
“Mungkin sebab ketika itu, nama saya belum dikenali. Jadi sukar untuk promosi lagu. Lagipun saya bukan reti sangat nak buat gimik atau kontroversi.
“Material sudah ada. Ciptaan Aepul Roza. Saya tunggu masa sesuai untuk merakam lagu tersebut. Insya-Allah, hujung tahun ini saya akan lancarkan,”katanya.