Cubaan kumpulan Sulu rampas aset Petronas cabuli proses mahkamah - Utusan Malaysia

Cubaan kumpulan Sulu rampas aset Petronas cabuli proses mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan kumpulan Sulu memohon untuk menyita atau merampas aset-aset Petronas dilihat sebagai suatu pencabulan proses mahkamah malah aset syarikat minyak itu juga bukan milik kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan, percubaan terkini oleh pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset yang didakwa milik Kerajaan Malaysia di Belanda boleh dikatakan sebagai satu lagi tindakan mengambil kesempatan bertentangan.

Malah jelasnya, ia melanggar peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).

“Pendirian Malaysia bahawa perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah di Paris pada Februari lalu adalah tidak teratur dan tidak mengikut lunas undang-undang.

“Tambahan pula, perintah yang diperoleh sekiranya dikuat kuasa boleh mengakibatkan ketidakadilan serta implikasi serius kepada kestabilan negara lain,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media semalam berhubung tindakan terkini pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (Final Award) di Mahkamah Belanda terhadap aset-aset Malaysia di sana termasuk rangkaian aset milik Petronas.

Menurut Wan Junaidi, perintah yang dikeluarkan oleh penimbang tara adalah tidak sah dan tidak mengikut norma atas beberapa sebab-sebab tertentu.

“Sebagai contoh, tindakan mengalihkan proses pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah yang diperoleh dari Sepanyol ke Perancis walaupun Mahkamah Agung Madrid mengisytiharkan pembatalan pelantikan Penimbang Tara dan prosiding susulan timbang tara.

“Walau bagaimanapun, pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu tetap meneruskan usaha-usaha menguatkuasakan perintah di negara-negara di mana Malaysia sedang melaksanakan tindakan sewajarnya,” jelas beliau.

Tambah Wan Junaidi, sebagai tindakan balas, Malaysia meneruskan prosiding Mahkamah di Perancis dan Sepanyol untuk mengetepi dan membatalkan perintah berkaitan malah kerajaan yakin bahawa penyelesaian prosiding mahkamah tersebut akan menyebelahi Malaysia.

“Selanjutnya, kerajaan telah memulakan strategi global yang proaktif untuk menghalang dan mengetepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu.

“Kerajaan juga melaksanakan tindakan perundangan yang sama di Luxembourg dan akan mengambil tindakan yang serupa di Belanda untuk mengetepikan dan menghalang sebarang percubaan oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu bagi menguatkuasakan dan memperoleh faedah-faedah daripada perintah yang dikeluarkan Mahkamah,” katanya.

Jelas beliau, Malaysia menghormati dan bangga menganggotai Konvensyen New York namun tidak akan sama sekali bertolak ansur atau tunduk kepada mana-mana pihak yang memanipulasi dan menyalah guna sistem sedia ada demi kepentingan peribadi.

“Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan dan asetnya di luar negara,” tegas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya