PETALING JAYA: Pengarah filem Mengejar Syurga, Bambang Drias mendedahkan, pelakon serba boleh, Jessica Mila cepat mempelajari cara solat dan menghafal surah Al-Fatihah walaupun dia beragama Kristian.
Kongsi Bambang, Jessica juga didedahkan dengan tatatertib pernikahan dalam Islam, selain perlu memakai hijab sepanjang penggambaran filem itu.
“Dia cepat belajar, malah cukup menyakinkan. Dia belajar cara solat, tatatertib akad nikah dan menghafal Al-Fatihah. Biarpun itu cabaran, dia berjaya melaksanakannya.
“Sewaktu sesi uji bakat, dia juga menyatakan kesanggupan untuk mempelajari tentang Islam. Itu sesuatu yang membanggakan,” katanya.
Bambang ditemui semasa tayangan perdana Mengejar Syurga yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok.
Selain Jessica, filem yang diterbitkan 4ward Pictures dan MAXStream Original itu menampilkan pelakon lain antaranya, Al Ghazali, Kimberly Ryder dan Jeremy Thomas.
Mengejar Syurga mengisahkan ketabahan dan kecekalan Atikah (Jessica Mila) dalam usaha mencari ayahnya, Hendrik (Jeremy Thomas), yang telah meninggalkannya sebelum dia dilahirkan.
Sekian lama Atikah memendam perasaan ingin menemui dan mengubat kerinduannya, gadis itu nekad mencari ayahnya untuk dijadikan wali pada hari pernikahannya dengan bantuan rakan serta tunangannya.