KUBANG PASU: Cadangan berkaitan tindakan yang akan diambil kerajaan bagi membela nasib pemilik kebun getah dan penoreh tanaman itu di negara ini, bakal dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Ketua Setiausaha kementeriannya bersama Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi sudah bermesyuarat bagi memutuskan beberapa perkara hari ini.
“Saya fikir perkara ini (membela nasib pekebun dan penoreh) perlu dilaksanakan segera, dalam minggu ini juga dan disebabkan itu, esok kita akan kemukakan kepada Perdana Menteri beberapa pilihan yang ada.
“Perkara itu kemudiannya akan dibawa ke Kabinet pada Rabu dan keputusan rasmi, biarlah Kabinet yang putuskan,” katanya dalam sidang akhbar Program Universiti Utara Malaysia (UUM) Membina Kesejahteraan Rakyat (Mekar) 2022 di sini, semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, walaupun terdapat enam agensi terlibat secara langsung dalam menguruskan komoditi getah, nasib 500,000 pekebun kecil di seluruh negara yang berhadapan pelbagai masalah tidak banyak berubah.
Ketika ini, dua kementerian utama iaitu Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang terlibat dalam mengurus dan menjaga kebajikan pekebun terlibat.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, beliau memberi jaminan bahawa perkara itu sememangnya menjadi perhatian kerajaan bagi membantu kalangan pekebun serta penoreh yang terjejas dengan kejatuhan harga komoditi tersebut.
“Kadang-kadang, kita terlepas pandang golongan penoreh dan hanya nampak pekebun kecil yang merupakan pemilik tanah semata-mata. Dalam hal ini, kedua-dua golongan tersebut wajar diberi perhatian,” katanya.
Sebelum ini, beliau memaklumkan dua cadangan yang akan dikemukakan adalah memanjangkan tempoh Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) daripada tiga kepada enam bulan dan meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada cuma RM2.50 ketika ini kepada lebih RM3.
Cadangan pertama dijangka akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan daripada RM200 juta kepada RM400 juta setahun manakala kos keseluruhan diperlukan untuk meningkatkan harga lantai melebihi RM3 pula mencecah RM500 juta. –UTUSAN