Bung Moktar mahu permohonan semakan digabung dengan Zizie - Utusan Malaysia

Bung Moktar mahu permohonan semakan digabung dengan Zizie

BUNG Moktar Radin dan Zizie Izette Abd. Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding semakan atas keputusan bela diri bagi pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual. - UTUSAN/SHIDDIEQQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mahukan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkannya membela diri atas pertuduhan rasuah, digabung dengan permohonan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

Pendengaran bagi menggabung kedua-dua permohonan itu akan dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini di hadapan Pesuruhajaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid pada 17 Oktober ini.

Pasangan suami isteri itu memfailkan permohonan secara berasingan minggu lalu untuk menyemak dan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan Bung Moktar membela diri atas tiga pertuduhan rasuah manakala Zizie atas tuduhan bersubahat.

Mereka antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil dan memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah dan bersubahat.

Ketika mahkamah bersidang, peguam M. Athimulan yang hadir bersama-sama Datuk K. Kumaraendran memaklumkan, pihaknya memohon satu tarikh lain bagi pendengaran permohonan itu.

Menurut Kumaraedran, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah pada prosiding hari ini menetapkan 7 Oktober ini bagi sebutan pemindahan permohonan Zizie.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen hari ini, Hakim Rozina Ayob turut menetapkan 17 Oktober ini bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan permohonan semakan.

Justeru, tarikh keterangan bela diri bagi pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual yang dijadualkan pada 14 Oktober ini dilapangkan.

Pada 23 September lalu, Hakim Collin membenarkan permohonan Bung Moktar dan Zizie untuk menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen selepas mereka memfailkan notis usul untuk menyemak dan mengetepikan keputusan hakim bicara.

Hakim Collin membenarkan permohonan pasangan suami isteri itu menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya didengar di Mahkamah Sesyen sementara menunggu permohonan semakan jenayah diputuskan.

Dalam notis usulnya, Zizie memohon Mahkamah Tinggi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap intipati pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Zizie dijadual membela diri pada 23 September lalu terhadap pertuduhan bersubahat dengan suaminya menerima rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.

Pasangan suami isteri itu dijadual memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Bung Moktar, 64, didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya