KOTA BHARU: Sebuah dewan terbuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Demit 2, di sini runtuh selepas dipukul ribut berserta hujan lebat dalam kejadian petang semalam.
Kejadian disedari berlaku antara pukul 5 hingga 5.30 petang oleh seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Zulkifli, 40-an, ketika melalui kawasan berkenaan.
Zulkifli berkata, semasa melalui kawasan itu dia telah dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat seperti objek jatuh terhempas dari tempat tinggi.
“Saya terus menoleh ke cermin sisi untuk memeriksa keadaan dan terkejut mendapati bumbung dewan terbuka sekolah berkenaan telah runtuh secara keseluruhannya.
“Mujurlah semasa kejadian tiada murid berada di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Kampung Demit, di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Mohd. Zin Halim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, dewan berkenaan adalah sumbangan daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebelum ini. – UTUSAN