PETALING JAYA: “Ini bukan tangkap muat. Mereka sudah bersama VE sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jadi, tiada isu kami pilih sebab terpaksa.”
Itu penjelasan Cham tatkala ditanya mengapa anggota asal VE tidak menyertai mereka dalam program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim kesembilan.
Cham menjelaskan, mereka sebenarnya sudah beberapa kali ditawarkan menyertai GV sebelum ini, namun masing-masing mempunyai kekangan sendiri dan sukar untuk bekerjasama dalam satu pasukan.
“Zaf, Hakim dan Adeeb adalah anggota VE. Bukan tangkap muat, bukan terpaksa sebab nak masuk GV. Ini adalah peluang keemasan dan rugi jika kami terus menolak tawaran tersebut.
“Bukan saya tidak mencuba pujuk anggota asal, tetapi mereka mempunyai komitmen lain yang menyukarkan kami untuk bekerjasama,” katanya.
VE yang juga satu-satunya penyanyi berkumpulan dalam program realiti popular itu berdepan pelbagai pertanyaan daripada netizen yang mempersoalkan barisan baharu kumpulan yang popular dengan lagu Ayu itu.
Malah, ketiadaan Lah Ahmad dan Damian Mikhail juga menjadi tanda-tanya.
Dalam pada itu, Cham juga menjelaskan, secara rasminya, anggota VE sudah menjadi lapan orang termasuk Adeeb, Zaf dan Hakim.
“Bagi saya, tiada isu pun. Mereka tunjukkan dedikasi dan komitmen untuk sama-sama bertanding dalam GV. Insya-Allah, kami akan berikan yang terbaik,” katanya.