Bot nelayan Indonesia bawa 22 kru ceroboh perairan negara

Bot nelayan Indonesia bawa 22 kru ditahan ceroboh perairan negara

SEBUAH bot nelayan Indonesia yang dikendalikan seramai 22 kru termasuk tekong ditahan Maritim Malaysia selepas didapati menceroboh perairan negara di kedudukan 109 kilometer barat daya Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan asing Indonesia yang dikendalikan 22 kru termasuk tekong selepas didapati menceroboh perairan negara.

Menurut Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed, bot itu ditahan kira-kira pukul 2.50 petang di kedudukan 109 kilometer barat daya Pulau Kendi, dekat sini semalam.

Kata beliau, bot itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara ketika rondaan rutin operasi bersepadu Op Benteng Laut oleh Maritim Malaysia negeri.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan asing tersebut dikendalikan oleh 22 kru termasuk tekong yang kesemuanya warga Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 56 tahun.

“Ketika diperiksa mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri iaitu pasport.

“Kesemuanya ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kes itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa pas yang sah.

“Orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut. 

“Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN