PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima perolehan lebih RM291 juta bagi memperkukuhkan khidmat kebombaan dan penyelamatan di negara ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perolehan yang diluluskan Kementerian Kewangan itu penting bagi memastikan JBPM setanding dengan keupayaan negara-negara maju.
Beliau berkata, antara perolehan diluluskan termasuk enam buah bot bomba dan penyelamat bernilai RM15.5 juta, lima unit Urban Search and Rescue (USAR) bernilai RM7.5 juta dan 150 kereta bomba kompak (CFRT) bernilai RM145.8 juta.
“Perolehan lain termasuk pembangunan projek Command, Control, Communications, Computers and Intelligent (C4iFRDM) bernilai RM49 juta dan RM40 juta bagi pembangunan Fasa 3 Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Terengganu.
“Selain itu, kerajaan turut meluluskan permohonan bagi projek Pejabat Pangkalan Udara (MOB) Bomba di Subang bernilai RM33.6 juta,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan) 2021, di sini hari ini.
Katanya, pemerkasaan aset bomba ini penting sebagai persediaan negara berdepan kekerapan bencana alam yang tidak diduga, kemalangan, dan kebakaran akhir-akhir ini.
Justeru, Reezal berkata, setiap anggota dan penyelamat perlu dilengkapi dengan pelbagai keupayaan dan kepakaran membabitkan aset berteknologi tinggi.
“Ia secara tidak langsung membantu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya huni yang merangkumi aspek kemampanan, berdaya tahan dan rasa selamat,” katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai persiapan banjir, Reezal berkata, JBPM sudah pun menempatkan anggota dan aset perlu sebagai persediaan berdepan bencana banjir Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, penempatan aset dan anggota itu dibuat berdasarkan pemetaan dan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
“Saya sendiri akan melawat pusat operasi MTL Khamis ini dan akan memberi taklimat terperinci mengenai penempatan aset dan anggota berkenaan.
“Saya difahamkan aset sudah pun dihantar selari dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN