PONTIAN: Barisan Nasional (BN) Johor mula menerima senarai calon yang akan bertanding di kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menerusi parti komponen masing-masing.
Pengerusinya, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, namun senarai calon bagi 26 kerusi Parlimen di negeri ini belum lengkap sepenuhnya kerana belum diserahkan.
Menurutnya, calon-calon yang dicadangkan mempunyai pelbagai latar belakang termasuk golongan wanita, pemuda dan muka baharu, namun yang penting keupayaan mereka untuk menang.
Beliau berkata, istilah ‘muka baharu’ perlu dilihat dari aspek kemampuan seseorang calon untuk diterima oleh pengundi di kawasan tersebut.
“Siapa pun boleh diletakkan sebagai calon pilihan raya dengan mempunyai perbelanjaan sebanyak RM15,000 bagi bayaran pencalonan dan ‘deposit‘ untuk pemasangan poster, namun bukan itu tujuan kita bertanding.
“BN akan memastikan calon-calon yang ditampilkan di setiap kawasan Parlimen kelak adalah yang terbaik, berpeluang untuk mengalahkan lawan dan diterima oleh pengundi,” katanya selepas menyampaikan hadiah sempena ‘Benut Merdeka Fun Walk’ Hari Tanpa Kenderaan di Pusat Khidmat DUN Benut, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.
Ditanya mengenai nama beberapa Ketua UMNO Bahagian di Johor yang mungkin bertanding di beberapa kerusi di luar kawasan mereka, beliau yang juga ADUN Benut berkata, perkara itu mungkin menerusi ‘platform’ Presiden UMNO dan BN Pusat.
Setakat ini BN dan UMNO Johor tidak membincangkan perkara tersebut dan menganggapnya sebagai khabar angin termasuk beliau yang turut dikaitkan dengan beberapa kerusi Parlimen.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, semua bahagian UMNO diminta menganjurkan kursus dan penerangan bersama-sama Jentera Pilihan Raya masing-masing.
“Ini termasuk bersama Jalinan Rakyat (JR) dan lain-lain jentera pilihan raya parti supaya mereka berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi PRU15 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja,” jelasnya. – UTUSAN