JASIN: Perbincangan berhubung penyertaan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam Barisan Nasional (BN) masih berjalan, kata Presiden Penggantinya, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, khabar angin berhubung penolakan PBM dalam gabungan politik itu tiada dalam pengetahuannya setakat ini.
Kata Ahli Parlimen Ampang itu, fokus beliau kini adalah untuk memperkukuhkan parti sebelum melangkah ke medan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.
“Saya tidak dimaklumkan perkara itu dan tiada dalam rekod saya. Apa yang saya boleh katakan saya tidak tahu. Saya move on (teruskan). Perbincangan berjalan dengan baik dan positif. Jadi saya bekerja saja untuk memperkukuh parti saya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penanaman Pokok Sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia di Selandar di sini hari ini.
Sebelum ini akhbar melaporkan, permohonan PBM untuk menyertai BN masih tergantung meskipun telah menyerahkan borang permohonan.
Pada masa sama, beberapa pemimpin BN dan UMNO turut bersuara menolak penyertaan PBM ke dalam gabungan berkenaan.
Antaranya, UMNO Bahagian Ampang dilaporkan tetap dengan pendirian menolak permohonan PBM menyertai BN menjelang PRU15.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Ampang, Mohamad Nadzim Ibrahim berkata, penolakan tersebut dibuat kerana tidak mahu parti yang tidak mempunyai pendirian tetap dalam hala tuju politik berada dalam BN. – UTUSAN