PETALING JAYA: Penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa, mengakui tidak dapat menahan air mata tatkala mendengar suara sahabat baiknya, mendiang Glenn Fredly berkumandang pada konsert 25 Shining Years di Bandung, baru-baru ini.
Rossa menjelaskan, ketika mendengar suara Glenn menyanyikan lagu Sekali Ini Sahaja, dia terlupa sahabat baiknya sudah meninggal dunia dan ia hanya rakaman nyanyian penyanyi itu.
“Tiba-tiba sahaja, muzik berhenti. Ketika itu, suara Glenn berkumandang. Saya mencari-cari. Dalam hati saya berkata, di mana Glenn. Saya terlupa dia sudah tiada. Jadi, air mata jatuh dengan sendirinya.
“Sebelum ini, kami sering berduet bersama. Dia sahabat yang cukup baik. Sehingga sekarang, rasa rindu itu masih menebal. Oleh sebab itu, saya merakam semula lagu Sekali Ini Saja untuk mendiang,” katanya.
Rossa berkata demikian ketika sidang media konsert 25 Shining Years Rossa In Malaysia yang bakal berlangsung 2 November depan.
Baru-baru ini, tular di media sosial riak terkejut Rossa ketika mendengar suara sahabat baiknya berkumandang secara langsung di konsertnya. Namun, selepas beberapa saat, Rossa kembali menyanyi dengan air mata.
Dalam pada itu, Rossa memberitahu, dia memilih Sekali Ini Saja kerana ia merupakan antara lagu kegemarannya dan dia mahu meneruskan legasi seni penyanyi lelaki itu.
“Kami memulakan kerjaya seni pada waktu yang hampir sama. Apabila dia meninggal dunia, ia bagaikan satu pukulan untuk kami semua. Beberapa bulan sebelum dia meninggal, kami ada berjumpa.
“Jadi, saya dedikasikan lagu ini untuknya. Semoga legasi seninya akan sentiasa bersinar, biarpun dia sudah tiada,” katanya.
Glenn meninggal dunia pada 8 April 2020 akibat radang otak selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi beberapa hari sebelum pemergiannya.