ALOR SETAR: Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 (RUU355) mungkin akan dapat diluluskan jika penggal kerajaan dilanjutkan sehingga tahun depan.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, partinya sedang mempergiat usaha menyediakan draf RUU tersebut dan pelbagai sudut telah dilihat khususnya dalam aspek Perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU355 tersebut lebih komprehensif, seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa tersebut.
“Dalam isu RUU355, Pas tidak pernah lupa, kita dalam usaha untuk memperkasa dan memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah setanding dengan Mahkamah Sivil.
“Antaranya meningkatkan tahap kompetensi hakim syarie, pendakwa syarie dan pegawai penguatkuasa agama, penambahbaikan aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah, penggubalan dan pindaan undang-undang syariah sedia ada dan penyeragaman dan penyelarasan undang-undang syariah.
“Sekiranya penggal kerajaan persekutuan dilanjut hingga akhir penggal, kita yakin akan ada berita gembira untuk umat Islam dalam hal RU355,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Muktamar Pemuda Pas hari ini.
Malah, katanya, antara langkah yang telah diambil adalah menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji dan menggubal Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2022.
“Pas bukan sekadar beretorik tentang Islam. Apabila diamanahkan dengan kepimpinan, keindahan dan kesyumulan Islam akan diterjemahkan dalam pemerintahan dan urusan negara. Inilah komitmen dan usaha yang ditunjukkan oleh Pas,” katanya. – UTUSAN