Beratur panjang buat pas sempadan masuk Thailand

Beratur panjang buat pas sempadan masuk Thailand

ORANG ramai beratur seawal pukul 6.30 pagi untuk menyiapkan pas sempadan bagi perjalanan memasuki Malaysia-Thailand di Bangunan UTC Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Meskipun pintu masuk ke pejabat Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini hanya dibuka pada pukul 8 pagi, seawal pukul 6.30 pagi sudah kelihatan orang ramai berbaris panjang menanti giliran untuk memasuki Thailand.

Kebanyakan yang berbaris itu melibatkan mereka yang mahu membuat pas sempadan Malaysia-Thailand untuk bercuti bersama keluarga sempena cuti sekolah.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hampir 100 pengunjung sudah berbaris sebelum pintu kaca Jabatan Imigresen dibuka dan jumlah itu meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh yang singkat hanya selepas 30 minit jabatan berkenaan beroperasi.

Seorang penduduk daerah ini, Rashidi Ismail, 37, berkata, dia menyangkakan menjadi orang terawal ketika tiba kira-kira pukul 8 pagi untuk membuat pas sempadan isteri dan anak-anaknya tetapi terkejut melihat orang ramai sudah beratur panjang.

“Saya ingatkan sudah datang paling awal memandangkan kaunter juga dibuka pada pukul 8 pagi tetapi rupa-rupanya ada yang lebih dahulu tiba ke sini berbanding kami sekeluarga. Saya bercadang membawa keluarga ke Satun dan Hatyai sempena cuti sekolah ini.

“Memang dengar orang Malaysia ramai mahu ke sana tetapi tidak sangka pula yang baru hendak buat pas sempadan seperti kami pun masih ramai. Mungkin kerana cuti sekolah dan tukaran mata wang lebih baik berbanding sebelum ini mendorong orang ramai nak ke sana,” katanya ketika ditemui.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, rakyat Malaysia terus berpusu-pusu melancong ke Thailand khususnya di Hatyai iaitu salah satu lokasi popular dengan pelancong sempena musim cuti sekolah ketika ini.

Tukaran ringgit ke Thai Baht ketika ini adalah RM100 bersamaan 814.4 Baht dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam menjadi pintu masuk pilihan utama rakyat negara ini untuk ke wilayah Selatan negara itu.

Pas sempadan adalah dokumen perjalanan alternatif kepada rakyat yang beralamat di Kedah dan beberapa negeri lain yang mahu berkunjung ke Wilayah Satun, Songkhla, Yala, Narathiwat serta Pattani dan sah dalam tempoh setahun pada kadar RM10.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Ali Zaharan Abidin, 45, berkata, dia terpaksa menunggu hampir empat jam untuk menyiapkan pas sempadan tersebut walaupun tiba pada pukul 7 pagi.

“Semasa saya tiba memang sudah ada orang beratur tetapi masih pendek dan bolehlah saya dapat nombor giliran awal, tetapi itu pun setelah sejam menunggu selepas pintu masuk ke kaunter dibuka oleh kakitangan Imigresen,” katanya.

Seorang pekerja kedai di UTC itu yang enggan dikenali pula memberitahu, pemandangan orang ramai beratur panjang boleh diihat setiap hari sejak awal cuti sekolah bermula apabila mereka mahu membuat pas sempadan dan pasport untuk perjalanan lebih jauh.

“Apa yang saya tahu kalau orang ramai mahu buat pas sempadan memang perlu ke UTC atau pejabat Imigresen di Bukit Kayu Hitam, manakala urusan di Kompleks Anak Bukit hanya berkaitan pasport. Mungkin sebab itu mereka ke sini kerana boleh juga berkunjung ke gerai-gerai atau menikmati makanan dan minuman sementara menunggu dokumen siap,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya