KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini mendengar keterangan remaja perempuan yang didakwa menjadi mangsa pengabaian dan penganiayaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd secara tertutup selaras dengan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.
Hakim Izralizam Sanusi membenarkan Pegawai Psikologi Jabatan Peguam Negara dan seorang lagi orang dewasa iaitu pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi perantara menemani Bella, 13, sepanjang sesi itu dijalankan melalui rangkaian secara langsung selepas mengambil kira kondisi kanak-kanak kategori kurang upaya itu.
Bella yang merupakan saksi pendakwaan ke-18, hadir ke mahkamah bersama beberapa pegawai JKM dan pegawai polis sekitar pukul 9 pagi dan ditempatkan di dalam sebuah bilik berasingan bagi memberi keterangan.
Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memberitahu mahkamah, perbicaraan kes itu dijalankan secara tertutup memandangkan Bella adalah mangsa selain adalah saksi kanak-kanak yang mana keterangannya tidak boleh dilaporkan oleh pihak media.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding perbicaraan secara tertutup dan meminta orang awam serta media meninggalkan galeri awam.
“Hari ini keterangan Bella akan didengar melalui rangkaian secara langsung selaras dengan Seksyen 31 (b) Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.
“Adalah juga direkodkan bahawa Nor Jumawaton Shahruddin akan berada bersama saksi kanak-kanak tersebut sebagai perantara selaras dengan Seksyen 8 akta sama.
“Selain itu, Noor Faiidah Mohamed juga akan bersama-sama saksi kanak-kanak tersebut sebagai orang dewasa menemaninya selaras dengan Seksyen 9 akta sama.
“Mahkamah juga telah merekodkan sebelum ini kebenaran perlantikan kedua-dua individu sebagai perantara ini,” ujar Izralizam.
Mahkamah juga menekankan bahawa Bella adalah saksi kanak-kanak kurang upaya maka mahkamah juga akan mengikut Seksyen 12 Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 sebagai panduan.
Terdahulu, Izralizam juga menjelaskan berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-17, Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, Bella adalah seorang kanak-kanak sindrom down yang mempunyai ketidakupayaan intelektual tahap moderat.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, RBella akan menyambung keterangan secara tertutup di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok selepas memberi keterangan di hadapan Hakim Izralizam menerusi rangkaian secara langsung pukul 10.30 pagi tadi sehingga 4.15 petang ini.
Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan dan menetapkan esok untuk pemeriksaan balas terhadap Bella sehingga selesai sebelum memanggil saksi seterusnya. – UTUSAN