KUALA LUMPUR : Pengarah, Adrian Teh, 38, tidak menolak pembikinan filem Malbatt Misi Bakara yang menelan belanja RM20 juta sebagai antara filem termahal pernah dihasilkan produksi tempatan.
“Malbatt Misi Bakara menelan belanja besar dan menjadi antara filem termahal pernah dihasilkan oleh produksi tempatan dengan 70 peratus jumlah kos meliputi aspek produksi.
“Selain penggambaran yang dilakukan di beberapa lokasi, termasuk di Turkiye selama 60 hari, filem ini juga memerlukan pasukan kami menyediakan set lengkap uniform tentera lama iaitu ketika pasukan tentera kita berada di medan peperangan di Somalia pada tahun 1993.
“Kami perlu tempah uniform yang kini sudah tidak lagi digunakan oleh tentera dan kosnya sahaja sudah mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya.
Adrian berkata demikian semasa ditemui pada sidang media pelancaran filem Malbatt Misi Bakara yang diadakan di Hotel Berjaya Times Square, di sini, hari ini.
Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah penerbit Berjaya Pictures, Tan Sri Datuk Seri Vincent Tan, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Zamrose Mohd Zain dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Seri Zurainah Musa.
Selain itu, tambah Adrian, kos tersebut turut digunakan untuk membina semula kelengkapan ketenteraan, selain membayar khidmat barisan pelakon.
Adrian menjelaskan, dia berminat untuk menghasilkan filem ketenteraan kerana melihat kepentingan mengangkat kisah benar di sebalik perjuangan wira negara yang terlibat.
“Selepas Paskal The Movie, saya memang tertarik untuk menyampaikan cerita kisah benar tentang Angkatan Tentera Malaysia.
“Sudah semestinya penglibatan tentera kita di Perang Mogadishu menjadi inspirasi kerana ia adalah misi paling berjaya dan diketahui umum.
“Saya bersyukur diberi peluang untuk menceritakan kisah sebenar yang terjadi di sana kepada penonton tanah air,” katanya.
Malbatt Misi Bakara bakal dipersembahkan oleh Tentera Darat Malaysia bersama enam syarikat penerbitan gergasi iaitu Berjaya Pictures, Act 2 Pictures, Fast Bikes, Aurum Investments Limited, Golden Screen Cinemas dan Astro Shaw.
Filem ini adalah kisah benar tentang operasi membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap dalam peperangan saudara di Somalia.
Cerita ini pernah diketengahkan dalam filem Hollywood iaitu Black Hawk Down, namun kali ini dihasilkan dari sudut yang berbeza.
Antara pelakon yang membarisi filem ini ialaj Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi, Dafi Ismail Sabri, Taufiq Hanafi, Ikhram Juhari, Safwan Nazri, Gambit Saifullah dan Theebaan G.