KOTA BHARU: Seorang bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat renjer menerima ganti rugi sebanyak RM300,000 apabila menang saman terhadap kerajaan selepas berjaya membuktikan penahanannya selama 311 hari bagi kes dadah lapan tahun lalu adalah salah.
Keputusan itu diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mendapati Mohamad Maliki Abdul Halim, 35, selaku plaintif ditahan selama tempoh itu tanpa mengikut undang-undang.
Mohamad Abazafree berkata, sehubungan itu, Mohamad Maliki turut diberi ganti rugi am, teladan teruk secara global sebanyak RM300,000 selepas berjaya membuktikan kebenaran dalam kesnya.
Beliau turut mengarahkan defendan dalam kes tersebut membayar kos guaman Mohamad Maliki sebanyak RM30,000.
“Berlaku kepincangan terhadap tindakan tatatertib yang dilakukan dua pegawai iaitu defendan satu dan dua selaku pegawai kanan dengan tindakan semberono yang tidak mengikut prosedur ketika plaintif ditahan di lokap tentera.
“Pengisytiharan bahawa plaintif telah ditahan selama 311 hari adalah tidak sah. Mahkamah mendapati plaintif ditahan secara salah sejak 26 Ogos 2014 sehingga 3 Julai 2015.
“Mahkamah mendapati plaintif turut dinafikan hak bersama isteri selain kehidupannya turut terjejas,” katanya semasa menyampaikan hujahan penghakiman.
Plaintif diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed mewakili Mohamad Maliki manakala peguam Norfauzani Mohd. Noordin mewakili kerajaan.
Sebelum ini, Mohamad Maliki memfailkan saman dengan menamakan Pegawai Memerintah Batalion ke-5 Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Shifullizan Abd. Aziz, pihak berkuasa sidang Panglima Bridged Kelapan Infantri Malaysia, Panglima Angkatan Tentera dan kerajaan sebagai defendan pada Mei 2018.
Menerusi penyataan tuntutan itu, satu operasi pencegahan dadah dilakukan terhadap 26 anggota ATM dan hasil operasi itu mendapati, sembilan anggota termasuk plaintif positif dadah.
Mohamad Maliki yang bertugas sebagai anggota renjer di Batalion 5 Rejimen Renjer Diraja, Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tentera.
Plaintif kemudiannya dikenakan tahanan ketat dengan ditempatkan di dalam bilik lokap selama 250 hari sehingga 8 April 2015.
Mohamad Maliki ketika ditemui pemberita berkata, dia amat bersyukur apabila menanti selama empat tahun sebelum keputusan memihak kepadanya.
Bapa kepada lima orang cahaya mata itu berkata, dia amat sedih dengan ujian berat yang dialami sejak 2014 sehingga menyebabkan kehilangan pekerjaan.
“Keadaan itu turut menyebabkan saya berpisah dengan isteri kira-kira dua tahun lalu. Saya menganggap ini sebagai ujian yang berlaku. Pasti ada hikmah atas keputusan hari ini.
“Empat tahun saya menanti keputusan ini malah terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kelantan sepanjang prosiding kes. Alhamdulillah, keputusan akhirnya memihak kepada saya,” katanya.
Tambahnya, dia kini bekerja sebagai juruteknik di ibu negara dan tetap tabah meskipun terpaksa meneruskan kehidupan tanpa isteri dan anak-anak di sisi. – UTUSAN