Bekas anggota pancaragam SMKI meriahkan sambutan Hari Malaysia - Utusan Malaysia

Bekas anggota pancaragam SMKI meriahkan sambutan Hari Malaysia

SEBAHAGIAN bekas pelajar dan anggota pancaragam sekolah yang menyertai 'reunion' sempena penutupan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inderapura di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 20 orang bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura (SMKI), Jerantut ‘kembali’ ke sekolah untuk memeriahkan sambutan Hari Malaysia di sini hari ini.

Lebih menarik, mereka yang merupakan bekas anggota pancaragam sekolah secara sukarela memainkan lagu Negaraku, Allah Selamatkan Sultan Kami dan lagu sekolah sebagai mengimbau zaman persekolahan sebelum ini.

Rata-rata bekas pelajar tersebut kini sedang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bekas pelajar dan anggota pancaragam sekolah, Siti Zulaikha Mohd. Zainuddin, 24, yang sedang menjalani latihan mengajar di SMKI antara mereka yang cukup teruja apabila dapat meniup saksofon alto bagi mengiringi kumpulan koir sekolah.

“Saya berasa teruja apabila dipanggil oleh bekas guru, Amir Hamzah Nordin menyertai bekas pelajar dan anggota pancaragam sekolah memeriahkan majlis penutupan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia hari ini. Dua hari sebelum majlis hari ini, rakan bekas pelajar di sini memberitahu kami dipanggil membuat persembahan diketuai bekas guru kami dan saya berasa sungguh seronok kerana dapat mengembalikan nostalgia semasa belajar di sini lapan tahun lalu,” katanya di sini hari ini.

Siti Zulaikha berkata, peristiwa hari ini bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotik, tetapi kenangan zaman persekolahan dahulu menyertai pancaragam sekolah.

Pemegang Diploma Muzik UPSI, Nur Izza Ikhtiman, 23, berkata, dia gembira apabila dipelawa oleh bekas guru untuk kembali berkumpul menyertai pancaragam sekolah dan membuat persembahan.

“Kebetulan saya bercuti di rumah menunggu panggilan melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dan terus menerima undangan guru dan rakan ke majlis hari ini. Inilah peluang bagi mengembalikan kenangan di sekolah ini bersama rakan lain, selain dapat bertemu guru yang pernah mengajar saya,” katanya.

Dia berkata, penyertaan mereka dapat memberikan suntikan semangat kepada pelajar di sini supaya meneruskan pembelajaran muzik dan kemahiran bermain peralatan muzik serta mengaktifkan pancaragam sekolah menerusi kegiatan akademik dan kokurikulum.

Sementara itu, Amir Hamzah yang sudah bersara sebagai guru muzik dua tahun lalu berkata, penyertaan bekas anggota pancaragam sekolah semata-mata untuk membantu pihak SMKI memeriahkan majlis penutupan penutupan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Kebanyakan bekas anggota pancaragam ini yang masing-masing sudah bekerjaya, tetapi masih ‘berbisa’ dan mahir bermain peralatan muzik dan inilah menyebabkan suasana majlis sambutan hari ini sungguh meriah bercampur pelbagai kenangan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN