Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia Fasa 3 mulai 20 September ini - Utusan Malaysia

Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia Fasa 3 mulai 20 September ini

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembayaran Fasa 3 dan rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 20 September ini secara berperingkat dan dijangka selesai pada 27 September.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran berjumlah RM2.2 bilion itu akan memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima yang terdiri daripada penerima BKM sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang atau tiada pasangan dan bujang serta mereka yang telah lulus rayuan BKM.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan cabaran kenaikan inflasi dan krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global.

“Bagi BKM Fasa 3, setiap penerima BKM sedia ada bakal menerima sehingga RM900. Lebih daripada 80,000 penerima telah diluluskan rayuan BKM dan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan masing-masing termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan kerajaan pada Jun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sehingga September ini, sebanyak RM5.9 bilion telah disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan dan masih terdapat bayaran Fasa 4 berjumlah RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Disember 2022.

Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 20 September melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

“Kerajaan kekal komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan di dalam Bajet 2023,” katanya.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN