Bas bawa 44 pelajar matrikulasi terbakar - Utusan Malaysia

Bas bawa 44 pelajar matrikulasi terbakar

ANGGOTA bomba memadam kebakaran bas di Kilometer 35, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran R&R Titiwangsa di Gerik hari ini. - UTUSAN/JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seramai 44 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah menempuh detik cemas apabila bas ekspres yang dinaiki terbakar di Kilometer 35, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa di sini hari ini.

Kejadian sekitar pukul 2 petang itu berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan secara konvoi dari Kelantan menuju pulang ke Changlun, Kedah bersama dua buah lagi bas ekspres.

Difahamkan, bas berkenaan terbakar ekoran percikan api yang terhasil daripada tayar bas yang meletup sewaktu dalam perjalanan.

Tindakan pantas pemandu berusia 38 tahun dan penumpang keluar segera daripada kenderaan menyelamatkan mereka terperangkap dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Mohd. Azizan Aziz berkata, maklumat berkaitan insiden itu diterima pada 2.05 petang dengan sepasukan lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Katanya, kerja-kerja pemadaman segera dilakukan yang mengambil masa hampir sejam dipadamkan sepenuhnya.

“Kejadian mengakibatkan kemusnahan bas dianggarkan sehingga 85 peratus itu tidak melibatkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang bas.

“Kesemua pelajar telah keluar sendiri dan mereka dalam perjalanan untuk pulang ke Kolej Matrikulasi di Changlun,” katanya.

Tambah beliau, anggota menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ di tempat kejadian bagi memastikan tiada unsur-unsur yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

“Operasi tamat pada pukul 3.48 petang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya