KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah di atas pemergian bekas Presiden MIC, Tun Dr S Samy Vellu pada pagi ini.
Katanya, Samy Vellu banyak memainkan peranan dalam pembangunan rangkaian infrastruktur jalan raya di negara ini.
“Pagi ini saya menerima berita sedih tentang pemergian Tun S Samy Vellu, mantan Presiden MIC dan bekas menteri Kabinet yang paling lama berkhidmat bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008.
“Mendiang juga menjadi Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995. Mendiang banyak memainkan peranan dalam pembangunan rangkaian jalan raya dalam negara,” katanya menerusi posting di Facebooknya, hari ini.
Samy Vellu yang berusia 86 tahun meninggal dunia di kediamannya di Kuala Lumpur kira-kira jam 7 pagi Khamis.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Samy Vellu merupakan pejuang dan bapa penyatuan masyarakat kaum India serta menjadi mentor kepada pemimpin MIC sepanjang dan selepas kepemimpinannya.
Kata Perdana Menteri, banyak sumbangan ditaburkan pemimpin tersebut kepada negara dan masyarakat India antaranya dalam penubuhan Maju Institute of Educational Development (MIED), Universiti Aimst dan Kolej Tafe yang membantu meningkatkan kehidupan masyarakat itu di negara ini. –UTUSAN