POKOK SENA: Meraih keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan baru-baru ini, bukan ‘tiket’ untuk dua pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke menara gading.
Ini kerana, Omar Mokhtar Abdul Rahman, 20, dan rakannya, Salmah Aminudin, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubur Panjang, Pendang, dekat sini berdepan kekangan masing-masing untuk menggapai cita-cita di peringkat lebih tinggi.
Omar Mokhtar dari Kampung Kuala Lanjut, di sini berkata, dia sangat berharap melangkah ke universiti selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.
“Bagaimanapun, hasrat saya mungkin tidak kesampaian kerana sehingga hari ini masih tidak mempunyai MyKad sebagai warganegara Malaysia. Ini disebabkan tiada dokumen lengkap mengenai ibu yang membuatkan status warganegara saya diragui.
“Walaupun bapa saya berasal dari Pendang tetapi sehingga kini status saya yang dilahirkan di Malaysia masih tergantung hingga menyebabkan masa depan masih samar terutama untuk melanjutkan pelajaran,” katanya ketika ditemui.
Omar Mokhtar berharap masalah yang ditanggungnya selama ini selesai secepat mungkin bagi membolehkannya melanjutkan pelajaran ke universiti.
“Bapa yang hanya bekerja kampung tidak mampu membiayai pelajaran saya ke universiti swasta yang lebih mahal apatah lagi masih terdapat dua adik yang bersekolah,” katanya.
Sementara itu, Salmah yang tinggal di Kampung Budi bersama neneknya pula berkata, dia sangat gembira selepas berjaya mendapat keputusan cemerlang STPM kerana amat bermakna untuk mengubah taraf kemiskinan hidup dihadapi keluarganya selama ini.
“Namun, impian saya ke universiti mungkin tidak tercapai memandangkan kos pembiayaan sangat tinggi. Saya dimaklumkan pada awal pendaftaran setiap pelajar perlu sedia RM4,000 hingga RM5,000. Mana mungkin nenek saya mampu mencarinya.
“Selama ini, kami sekeluarga hanya bergantung sepenuhnya bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 dari nenek dan RM450 yang diterima ibu saudara,” katanya.
Menurut Salmah yang bercita-cita untuk menjadi guru, ibunya kini masih mendapat rawatan sebagai pesakit mental di Kemunting, Perak.
Bagi mereka yang ingin membantu kedua-dua pelajar berkenaan boleh menyumbang melalui Bendahari Surau Al Huda Kampung Bukit Sireh, Samsudin Razak di akaun Bank Islam 02075010041592. – UTUSAN