KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuat kajian berhubung cadangan penyimpanan air bawah tanah seperti dilakukan di Tokyo, Jepun sebagai salah satu pelan untuk mengatasi banjir kilat di ibu negara.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, kajian tersebut mengambil masa empat hingga lima bulan bagi mengenal pasti kesesuaian pelaksanaan inisiatif dengan mengambil kira kesan serta impak keberhasilan.
“Di Tokyo, air ditakung dahulu supaya tidak berlakunya banjir kilat atau air bertakung yang teruk, maka air disimpan di bawah tanah. Kita sedang mengkaji perkara ini melalui perunding yang dilantik untuk mengeluarkan penemuan berkaitan perkara tersebut dalam tempoh empat hingga lima bulan.
“Ia perlu diletakkan di tempat paling rendah supaya mudah air disalirkan kepada lokasi yang kita kenal pasti sebagai tempat penyimpanan air,” katanya pada Majlis Malam Penghargaan Media Kuala Lumpur 2022 di sini semalam.
Beliau berkata, DBKL kini giat melakukan persediaan rapi terutama dari segi penyelenggaraan dan kebersihan tempat pengairan serta saliran seperti longkang berikutan data taburan hujan jauh lebih tinggi direkodkan di Kuala Lumpur berbanding sebelum ini.
Mahadi berkata, justeru satu mesyuarat dengan syarikat pembersihan Alam Flora dan agensi berkaitan seperti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dilakukan untuk melakukan persiapan.
Sementara itu, beliau berkata, DBKL mengalami kerugian kira-kira RM700,000 apabila hiasan landskap dan pokok bunga hiasan rosak pada sambutan Hari Kebangsaan, Rabu lalu.
Katanya, kerosakan di sekitar Dataran Merdeka dan sepanjang perarakan itu berlangsung berkemungkinan kerana kehadiran pengunjung yang ramai apabila pada dianggarkan lebih 100,000 pengunjung hadir sekali gus merupakan rekod baharu dicatatkan DBKL.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci ke atas insiden tersebut dan pada masa sama akan mengeluarkan satu garis panduan supaya perkara itu tidak berlaku pada masa akan datang. – UTUSAN